Program Kerjaya My Future Jobs Bersama HAWA Bukan Sekadar Karnival – Ahmad Zahid

BENTONG, 30 Sept – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melihat Karnival Kerjaya My Future Jobs Bersama HAWA Malaysia hari ini bukan sekadar karnival.

Sebaliknya jelas beliau ianya menggambarkan keprihatinan kerajaan hari ini dalam pelbagai aspek kebajikan dan kepentingan seluruh rakyat.

“Apa yang penting bukan sekadar karnival…yang penting bagaimana pengisian kepada karnival atau majlis yang diadakan. Hari ini kita lihat bagaimana seperti yang disebutkan okeh menteri tadi terdapat lebih 1,000 jawatan-jawatan kosong yang harus diisi oleh masyarakat di Bentong, Pelangai dan Pahang amnya.

“Kita lihat bagaimana My Future Job di sini bukan sahaja dikhususkan untuk generasi kedua Felda, Chemomoi dan dua lagi Felda di sini malah untuk rakyat di Pelangai, Bentong serta rakyat di Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Kerjaya My Future Jobs Bersama HAWA Malaysia, di Felda Chemomoi, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar; Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail;, Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO Malaysia (HAWA) Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Ahmad Zahid seterusnya menegaskan apa yang diperkatakan hari ini bukanlah kerana ada pilihan raya mahu pun pilihan raya kecil.

“Apa yang saya sebutkan di sini bukan kerana ada pilihan raya… bukan kerana ada pilihan raya kecil… kita mahu melihat bahawa kerajaan-kerajaan negeri yang selari dan selaras dengan kerajaan persekutuan Putrajaya benar-benar dapat melaksanakan apa sahaja program-program positif yang memberikan keuntungan kepada rakyat seluruhnya,” tambahnya.

Tambahnya lagi kesinambungan cukup penting dan masyarakat di Pelangai harus seiring dengan kepimpinan Datuk Seri Wan Rosdy.

“Kita mahukan kesinambungan supaya kita tidak memilih wakil daripada parti lain yang hanya boleh menghentam dan membangkang. Kita fokus perkhidmatan kepada rakyat bukan buat fitnah dan tohmah. Selepas ini kita balik ke tempat masing-masing dan yang akan tinggal selepas ini adalah masyarakat di Pelangai.

“Rakyat di Pelangai harus sama-sama dengan kepimpinan Datuk Seri Wan Rosdy. Jadi kesinambungan ini amat penting dan kita tidak mahu ada jurang kalau tersalah pilih disebabkan termakan dengan janji dan fitnah,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit