PRK: Dakwaan Pas Kehadiran Polis ‘Luar Biasa’ Berunsur Fitnah, Cubaan Dapat Simpati – Mustapha

BENTONG, 30 Sept – Veteran UMNO Malaysia menyangkal dakwaan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang berkata kehadiran polis dan pasukan keselamatan dimajlis dan program Pas/Perikatan Nasional (PN) telah mengganggu perjalanan majlis mereka.

Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub memaklumkan bahawa beliau telah berada di Pelangai sejak 25 Sept dan menjalankan program ceramah berkelompok disemua 12 cawangan UMNO.

“Saya tidak nampak pun kehadiran anggota polis yang disifatkan oleh Takiyudin sebagai mengganggu majlis. Kehadiran mereka biasa untuk mengawasi dan menjaga keselamatan.

“Polis juga turut mengawasi calon-calon yang mengadakan ‘walk about’ ditempat umum seperti pasar malam dan kunjungan rumah ke rumah. Polis juga turut mengawal keselamatan pemimpin parti yang turun membantu calon mereka.

“Oleh itu dakwaan Takiyuddin adalah tidak benar dan berunsur fitnah dan memberi gambaran seolah-olah polis cuba mengganggu program PN dan tidak mengganggu program BN.”

Bidas Mustapha lagi, dakwaan Takiyuddin itu bukan saja memburukkan imej pasukan polis tetapi cuba mendapat simpati pengundi dengan cara menghasut mereka membenci pasukan polis demi mendapat undi.

Dilaporkan, semalam Takiyuddin mendakwa kehadiran luar biasa pihak berkuasa dalam pelbagai aktiviti kempen dianjurkan partinya PRK DUN Pelangai menimbulkan keresahan dalam kalangan penyokongnya malah berkata tindakan itu juga boleh memberi gambaran tidak sihat kepada amalan demokrasi negara.

Takiyuddin mendakwa ada anggota Cawangan Khas (SB) mengikut pergerakan calon PN, Kasim Samat, bertemu orang ramai dengan jumlah kehadiran anggota polis juga dianggap luar biasa ramainya termasuk di bilik gerakan atau pusat operasi PN sehingga menakutkan banyak pihak. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit