Noran Zamini Saran Pengundi Kekalkan BN Di Pelangai
BENTONG, 1 Okt – Naib Ketua UMNO Bahagian Pokok Sena, Noran Zamini Jamaluddin menyarankan pengundi-pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai agar kekal dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.
Menurutnya, banyak kemudahan yang dikecapi rakyat Pahang dan Pelangai di bawah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta kepimpinan negeri.
“Saya saran kekalkan DUN Pelangai di bawah BN. Apabila ada pemimpin di peringkat negeri yang menjaga negeri dengan baik dan penuh kemakmuran apatah lagi namanya ‘Darul Makmur’ maka wajar kita jaga.
“Kita lihat di negeri Pahang ini dari dasar negeri pun pelbagai kemudahan dan khidmat yang terbaik telah diberikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. Kalau melihat ‘track record’ dilakukan oleh kerajaan BN di bawah pimpinannya memang cukup cantik untuk rakyat Pahang menilai, orang luar tidak tahu apa yang berlaku di negeri ini.
“…dan di sini ada calon dari BN, anak Felda yang tahu selok belok tentang Felda. Jangan buat tindakan yang semberono, hanya kerana sentimen yang dibawa oleh anasir-anasir luar, cuba menghasut rakyat Pelangai yang kaya dengan sopan santun dan budaya yang lebih baik. Kekalkan budaya tersebut dan perkara yang tidak elok dijadikan iktibar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berkempen di bilik gerakan Kampung Semerting, di sini.
Turut hadir Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Sharkar Shamsuddin; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dan pengundi-pengundi DUN Pelangai.
Pada masa yang sama Noran merasa kesal dengan perkataan yang sering dilaungkan oleh Menteri Besar Kedah, menjadi fenomena yang negatif serta menjadi ikutan pada anak-anak kecil.
“Kami di Kedah ini apabila fenomena ‘kepala bapak hang’ yang disebut oleh Menteri Besar Kedah, maka anak-anak kecil selalu menyebut perkataan tersebut. Kesannya sangat negatif kepada masyarakat khususnya kepada generasi akan datang.
“Biarlah perkara yang tidak elok berakhir di sana dan jangan masuk ke negeri Pahang.
Kita sekat bukan kerana mahu sekat kemaraan parti politik tetapi budaya-budaya yang tidak sihat dibawa oleh parti yang berkepentingan perlu disekat,” ujarnya.
Tegasnya, cara untuk menyekatkannya, orang Pelangai terjemahkan undi pada BN, kekalkanlah pemerintahan negeri yang sedia ada dan cukup cantik di negeri Pahang. – UMNO Online