Adnan Sifatkan Undi PN Di Pelangai Langkah Sia-Sia, Terus Pilih BN

BENTONG, 26 Okt – Undi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai merupakan pilihan atau satu tindakan yang sia-sia, demikian pandangan Timbalan Ketua UMNO Bandar Tun Razak, Datuk Adnan Seman.

Bagi beliau langkah tersebut adalah tindakan yang merugikan kerana kawasan Pelangai akan diwakili oleh wakil rakyat pembangkang sedangkan negeri diterajui oleh kerajaan perpaduan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

“Kalau kita jumpa kawan-kawan dan mereka mengatakan akan undi PN, beritahu mereka simpan dahulu kerana kalau undi kali ini ada kebaikan tak… boleh tukar kerajaan negeri tak… atau berubah tak di peringkat Persekutuan.

“Undi jangan guna emosi sebaliknya pilihlah dengan bijak. Ambillah pengajaran sejarah negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14  yang lalu. Kita boleh lihat kesannya hingga ke hari ini apabila  pemerintahan negara jatuh dengan emosi gara-gara terpengaruh sentimen dan hari ini usaha kita bersama untuk stabilkan politik sedikit demi sedikit… insya-Allah dua tiga penggal akan kembali jadi baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sembang Santai PRK Pelangai di Bilik Gerakan Kg Chemomoi, di sini malam tadi.

Turut serta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Adnan seterusnya menambah walaupun PRK ini tidak memberi kesan kepada kedudukan kerajaan di peringkat negeri serta persekutuan, namun ianya amat penting untuk masyarakat DUN Pelangai.

“PRK  Pelangai bukan perkara kecil… ingat tak dulu kononnya sekadar mahu kurangkan jumlah kerusi BN dan beri kepada pembangkang akhirnya kerajaan tumbang dan kesannya hingga ke hari ini,” tambahnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit