Pengundi Pelangai Jangan Terpedaya Dakyah PN, Modal Politik Hanya Serang BN-PH – Sharif Musa

KUALA LUMPUR, 25 Sept – Pengundi-pengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai digesa agar jangan terperdaya dengan dakyah Perikatan Nasional (PN) dalam berkempen sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) yang hanya bermodalkan menyerang gabungan Barisan Nasional (BN) – Pakatan Harapan (PH).

Demikian tegas Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul yang mengikuti perkembangan terkini sejak kempen PRK DUN terbabit bermula pada Sabtu lalu.

Katanya, seperti biasa pemimpin PN akan menggunakan isu kerjasama UMNO dengan PH yang turut dianggotai Dap sebagai isu untuk menyerang calon BN.

“Tiada parti yang mempunyai ‘track record’ yang telah mengangkat bangsa Malaysia sebelum ini kecuali UMNO-BN. Dari bangsa Malaysia yang kais pagi makan pagi, kepada bangsa Malaysia yang berilmu, bangsa Malaysia berperniagaan, bangsa Malaysia berjawatan, bangsa Malaysia yang global. Ini semua hasil perjuangan UMNO-BN sejak merdeka.

“Jika pengundi DUN Pelangai tidak menolak PN, maka hilanglah segala impinan melihat pengundi-pengundi DUN Pelangai berdiri sama tinggi, jika tidak lebih lagi, dengan orang lain dalam Negeri Pahang,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Terdahulu beliau mengucapkan tahniah kepada masyarakat warga peneroka Felda Chemomoi kerana tidak hadir ceramah PN di tapak pasar malam Felda Chemomoi, semalam.

Dilaporkan ceramah itu dihadiri Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man selaku pimpinan utama PN; ADUN Beserah, Andansura Rabu; ADUN Panching, Mohd Tarmizi Yahya dan Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor.

PRK DUN Pelangai pada 7 Okt ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru dengan calon BN Datuk Amizar Abu Adam ditentang Kasim Samat (PN) dan Haslihelmy selaku calon bebas.

PRK DUN Pelangai diadakan selepas penyandang kerusi itu diisytiharkan kosong susulan penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor, bulan lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon PN Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi, Ahmed Wafiuddin Shamsuri (calon PH – 2,031 undi) dan Isa Ahmad (calon PEJUANG – 65 undi). – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit