PRK Pelangai: Jangan Sia-siakan, Gunakan Peluang Hantar Wakil BN Ke DUN – Mohd Kamil
BENTONG, 26 Sept – Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohd Kamil Ibrahim berharap pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai mengekalkan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan 7 Oktober nanti.
Menurut beliau langkah itu penting apatah lagi kerajaan Pahang dan kerajaan di peringkat pusat diterajui oleh kepimpinan kerajaan perpaduan yang tentunya memberikan pelbagai manfaat untuk kelangsungan DUN Pelangai.
“Paling penting orang Pelangai itu sendiri… kalau wakil rakyatnya daripada BN sudah tentu mempunyai akses yang mudah dengan kerajaan negeri apabila mempunyai wakil di DUN.
“Pada masa yang sama dari sudut sosio ekonomi… penting orang Pelangai memberikan kepercayaan dengan mengekalkan BN pada hari pengundian nanti dengan kemenangan kepada Datuk Amizar Abu Adam,” katanya kepada UMNO Online.
Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada 7 Oktober ini menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas.
Datuk Amizar Abu Adam mewakili BN, Kasim Samat (PN) dan Haslihelmy DM Zulhasli, calon Bebas yang akan menggunakan simbol kereta.
Mohd Kamil yang juga Ketua Pemuda UMNO Raub seterusnya menambah soal persepsi bukan sahaja berlegar di peringkat nasional malah turut dibawa ke Pelangai.
“Kalau mahu jadi pemimpin… pada saya kita bawa soal dasar atau apa benda yang baik kita cakap dan sebagainya namun pembangkang ini saya lihat memainkan soal persepsi semata-mata.
“Kalau kita tengok Himpunan Selamatkan Malaysia baru-baru ini… saya merasakan itu agak kelakar… cakap himpunan selamatkan Malaysia tetapi asyik cakap ‘Zahid… Anwar’.
“Kita nak memimpin… saya ambil contoh bagaimana kerajaan negeri Pahang. Pencapain ekonomi ketiga terbaik dan ini terbukti. Kita bukannya sekadar cakap dan memomokkan rakyat dengan tohmahan serta fitnah. Kita mahu ke depan dan rakyat sudah muak dengan politik,” tambahnya lagi. – UMNO Online