Buat Penilaian Mendalam, Calon BN DUN Pelangai Mampu Wakili Rakyat Setempat – Wan Rosdy
BENTONG, 23 Sept – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yakin calon yang diketengahkan parti itu, Datuk Amizar Abu Adam pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai mampu melaksanakan amanah sekiranya pengundi memberikan peluang pada 7 Oktober depan.
Langkah itu sekaligus jelas beliau dapat menyambung apa jua perancangan yang telah dirancang oleh mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Seri Adnan Yaakob dan juga segala usaha Allahyarham Datuk Seri Johari Harun untuk masyarakat di DUN Pelangai.
“Kriteria pemilihan calon…antaranya perlu diterima oleh pengundi dan sudah tentulah dalam pemilihan calon ini kita melihat daripada pelbagai aspek terutama kelayakan, disenangi oleh rakyat dan pelbagai faktor lain. Insya Allah…calon yang diketengahkan ini adalah sememangnya diterima oleh sebahagian besar pengundi di Pelangai.
“Datuk Amizar yang kita ketengahkan ini adalah anak peneroka dan beliau merupakan anak tempatan. Alhamdulillah saya mendapat ‘feedback’ setakat ini agak baiklah dan calon ini saya yakin boleh menjadi wakil rakyat yang mampu melaksanakan amanah dan boleh meneruskan apa sahaja usaha yang dibuat oleh mantan ADUN sebelum ini, Datuk Seri Adnan Yaakob serta Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.
“Saya percaya jika Datuk Amizar diberikan peluang beliau boleh memberikan perkhidmatan yang sebaiknya untuk masyarakat di DUN Pelangai,” katanya kepada UMNO-Online.
Dalam pada itu beliau menaruh keyakinan dan percaya pengundi di Pelangai cukup bijak untuk membuat penilaian termasuklah segala persepsi yang akan dimanipulasi sepanjang kempen PRK berlangsung.
“Pengundi di Pelangai ini agak matang dan kita di Pahang pun agak matang dapat menilai apa yang baik dan apa yang tidak baik malahan ada di kalangan pengundi di sini mengatakan pihak lawan kekurangan modal sehingga sanggup melakukan apa sahaja.
“Sebagai contoh baru-baru ini kita sambut 16 September… semasa sambutan tersebut adalah sedikit tarian Hari Malaysia dan mereka menyebarkan di dalam media sosial seolah-olah ada benda yang menjolokkan mata sedangkan benda itu tidak benar. Cuma mereka ambil gambar itu dan masuk di dalam media sosial seolah-olah itu berlaku di Pelangai.
“Ada juga yang terpengaruh dengan apa yang mereka buat itu… namun tidak semua mempercayainya. Sebab itu saya lihat mereka kekurangan modal dan mereka cuba kelirukan pengundi supaya pengundi beralih arah untuk mengundi mereka,” ujarnya.- UMNO Online