Kita Akan Terus Yakini Pengundi Muda Demi Kelangsungan DUN Pelangai – Hafifi

BENTONG, 25 Sept – Pemuda UMNO Bentong akan terus berusaha sebaik mungkin untuk menyakinkan pengundi muda agar membuat pilihan dengan tepat iaitu memilih calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai 7 Okt depan, kata Ketuanya, Mohd Hafifi Jamaluddin.

Beliau percaya rata-rata orang muda terutamanya telah sedar manipulasi yang dimainkan oleh pembangkang pada PRN lalu.

“Pembangkang sebenarnya kekeringan isu yang hendak dibangkitkan. Dari dahulu hingga kini itulah isunya dan mereka tiada modal. Pengundi-pengundi sudah mual dengan isu lapok ini dan ianya tidak menjadi masalah. Pada PRK Pelangai ini isunya tetap ada tapi sangat berkurangan.

“Saya percaya anak muda yang berusia 18 hingga 21 tahun ini walaupun adalah kali pertama berpolitik tapi mereka rata-rata mampu membuat pilihan terbaik dan nampak mana yang lebih wajar untuk dipilih pada PRK ini,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.

Dalam masa yang sama kata Hafifi lagi, Pemuda UMNO Bentong akan terus mendekati golongan muda hingga hari pengundian dalam usaha memastikan parti mendapat kepercayaan untuk mereka membuat pilihan pada hari pengundian kelak.

“Anak muda sekarang ini nampak pembangkang hanya pandai ‘cakap kosong’ dan ‘pandai berjanji’ tapi tiada bukti, golongan ini semakin matang dalam berpolitik,” ujarnya. 

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan kerusi DUN Pelangai diadakan pada 7 Okt ini ekoran kematian Datuk Seri Johari Harun akibat nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15, Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon PN Kasim Samat, calon PH Ahmed Wafiuddin Shamsuri dan calon Pejuang Isa Ahmad. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit