Mahdzir Ingatkan Pengundi Pelangai Jangan Terpedaya Persepsi Pembangkang
BENTONG, 23 Sept – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengingatkan kepada pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai agar jangan terpedaya dengan dakyah pembangkang yang sering memainkan persepsi politik.
Tegasnya, pihak lawan mencipta naratif songsang yang melampau bagi mengelirukan dan menghilangkan keyakinan pengundi terhadap Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya ini.
“Kita sudah mengingatkan kepada seluruh penyokong-penyokong BN/PH bawa mereka (pembangkang) akan datang membuat persepsi lagi. Sudah pasti persepsi politik yang akan dikumandangkan oleh pembangkang akan terus dimainkan pada pilihan raya ini.
“Persepsi ini sudah tentu persepsi yang memberi gambaran seolah-olah Kerajaan Perpaduan BN/PH tidak melakukan apa-apa tapi kita tahu dalam tempoh 10 bulan memerintah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tmbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta kepimpinan sedang berusaha untuk menentukan bahawa masyarakat keseluruhannya mendapat manfaat dalam pelbagai bidang sama ada rakyat yang tinggal di bandar mahupun luar bandar dan termasuk juga yang tinggal di kawasan Felda.
“Kepada seluruh pengundi DUN Pelangai jangan dengar persepsi yang negatif dan tidak perlu dengar serta buat satu keputusan yang tepat bahawa dapat mengekalkan serta mempertahankan kerusi DUN ini dan berikan undi kepada calon tersebut,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Seterusnya kata Mahdzir lagi kolaborasi BN/PH semakin mantap setelah memenangi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram baru-baru ini.
“Kolaborasi BN/PH semakin hari semakin bertambah baik dan mantap setelah memenangi pilihan raya di Johor baru-baru ini dan sudah tentu BN pertahankan DUN ini kerana kerusi ini adalah milik BN, insya Allah,” tambahnya.
PRK DUN Pelangai itu adalah yang ketiga selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 berlangsung lebih 10 bulan lalu. Pada bulan lalu PRK DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai menyaksikan kemenangan berpihak kepada calon PH daripada parti Amanah.
Berdasarkan rekod, DUN Pelangai mulai dijadikan kawasan DUN pada 1986 dan sejak itu ia diwakili wakil rakyat daripada BN, dengan bekas Menteri Besar Pahang, yang pernah mewakili kawasan itu selama lapan penggal (1986-2022).
PRK DUN Pelangai diadakan selepas penyandang kerusi itu diisytiharkan kosong susulan penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, di Shah Alam, Selangor, bulan lalu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut menetapkan 3 Oktober sebagai hari undi awal dan 7 Oktober untuk hari pengundian. – UMNO Online