Elak Budaya Ekstremisme, Tidak Menguntungkan Rakyat – Dr Akmal

BENTONG, 23 Sept – Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berpandangan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai harus menolak budaya ekstremisme yang boleh menimbulkan perbalahan pada rakyat dan membanteras sebarang bentuk politik perkauman sempit yang merugikan rakyat.

Katanya, tidak ada kompromi isu agama dan budaya dimainkan walau apa pun manipulasi yang dilakukan dalam ingin mewujudkan keharmonian dalam negara yang mempunyai berbilang bangsa serta agama.

“Kita kena tolak mana-mana pihak yang memainkan isu sentimen agama dan juga budaya yang ekstrim. Kalau nak beza pendapat boleh tapi biarlah tentang polisi yang menguntungkan rakyat dan bukan hanya untuk digunakan.

“Nak beza pendapat mahu pun idea tapi jangan keluarkan fitnah. Jangan mainkan isu-isu sentimen yang ekstrim seperti agama ataupun bangsa dan ini harus ditolak. Kena ingat bahawa parti digunakan untuk mempertahankan agama, bukan agama digunakan untuk mempertahankan parti,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Dalam pada itu beliau melihat kerjasama antara parti di dalam kerajaan perpaduan cukup erat.

“Sudah tentu kerjasama Barisan Nasional (BN) – Pakatan Harapan (PH) sangat erat dan kerjasama yang telah ditunjukkan pada Pilihan Raya Negeri  (PRN) enam negeri, Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Simpang Jeram akan diteruskan di DUN Pelangai ini,” tambahnya.

Dalam masa yang sama Ketua UMNO Bahagian Jasin itu turut percaya BN akan mengekalkan kerusi DUN Pelangai ini kerana melihat gelombang biru merah sudah menguasai Pahang selepas pilihan raya di Johor.

“Kita ada rasa ‘good factor’ untuk menang dan mengekalkan kemenangan di DUN Pelangai. Insya-Allah… gerak kerja Pemuda UMNO teratur dan tunggu keputusan hari terakhir.

“Sudah tentu Pemuda UMNO inginkan kemenangan di Simpang Pulai dan Pulai baru-baru ini dan Kerajaan Perpaduan telah memenanginya maka gelombang biru merah ini akan diteruskan kali ini di bumi Pahang. Insya Allah… pada 7 Oktober ini DUN Pelangai milik BN,” jelas beliau.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan kerusi DUN Pelangai diadakan pada 7 Okt ini ekoran kematian Datuk Seri Johari Harun akibat nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15, Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon PN Kasim Samat, calon PH Ahmed Wafiuddin Shamsuri dan calon Pejuang Isa Ahmad. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit