Bersama Pastikan BN Menang, Noktahkan Kemaraan PN Di Pelangai – Wan Rosdy

BENTONG, 21 Sept – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyeru jentera parti bersama berganding bahu serta berkerja keras bagi memastikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai kekal milik BN.

Ujar Menteri Besar Pahang itu, kemenangan BN di Pelangai sangat penting dengan mengambil semangat kebangkitan ketika PRK Parlimen Cameron Highlands dan secara tidak langsung dapat menoktahkan kemaraan Perikatan Nasional (PN) setelah apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

“Pilihan raya ini penting kerana kita baru sahaja habis PRN. Kita semua tahu keputusannya macam mana…jadi di Pelangai inilah PRK Cameron Highlands yang kedua di mana lapan kali (sebelumnya) kita kalah dan kita noktahkan (kekalahan) selepasnya.

“Dan pada kali ini selepas PRN beberapa kerusi kita hilang kepada PN dan saya berharap di Pelangai ini kita akan noktahkan pergerakan mereka untuk mara ke negeri Pahang ini.

“Kegagalan untuk mendapatkan majoriti lebih empat ribu bukanlah satu alasan. Tetapi saya percaya dan yakin melihat kepada gerak kerja jentera telah berkampung di Pelangai, bekerja siang dan malam. Kita tumpukan sepenuh masa,” kata Wan Rosdy yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang.

Wan Rosdy berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan dalam majlis pelancaran jentera PRK DUN Pelangai di Dataran Pelangai di sini, Rabu petang.

Pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan.

Hadir sama kepimpinan BN dan UMNO dari peringkat pusat, negeri dan jentera tempatan serta parti-parti dari Kerajaan Perpaduan.

Wan Rosdy juga mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan parti komponen BN serta Pakatan Harapan (PH) yang turut membantu bagi memastikan kemenangan.

Dalam ucapannya juga, Wan Rosdy berkata selain memastikan kemenangan, semua jentera perlu berusaha dengan gigih bagi mendapatkan majoriti yang lebih tinggi sebagai hadiah kepada Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.

“Yang penting sekarang ini majoriti yang ditinggalkan oleh Allahyarham ialah empat ribu lebih.

“Jadi kali ini sebagai jentera parti, untuk kita mengenang budi, menghadiahkan kepada jasa bakti beliau walaupun hanya berkhidmat sebagai wakil rakyat dan exco selama lapan bulan tetapi beliau telah menunjukkan khidmat bakti yang cukup baik dan kita harus buktikan bahawa 7 Okt ini majoriti hendaklah dipertingkatkan, Insya-Allah,” katanya.

Sebagai rekod, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon PN Kasim Samat, calon PH Ahmed Wafiuddin Shamsuri dan calon Pejuang Isa Ahamd.

Selanjutnya tambah Wan Rosdy, beliau juga kagum dengan semangat jentera UMNO Bahagian Bentong yang telah menunjukkan komitmen yang tinggi dengan meletakkan kepentingan parti di hadapan berbanding kepentingan individu.

“Kita tunjukkan semaksimum mungkin dan buktikan kepada rakyat bahawa BN masih relevan terutama di bumi Pelangai. Insya-Allah dengan kerja kuat kita akan nobatkan calon BN untuk menjadi wakil rakyat di Pelangai dan kita seimbangkan kerusi kita di Dewan Undangan Negeri Pahang,” katanya.

PRK DUN Pelangai akan diadakan pada 7 Okt ini berikutan kematian Johari, 53, dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor pada petang 17 Ogos lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon berlangsung pada Sabtu ini, manakala 3 Okt sebagai hari undi awal. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit