Rakyat Mahu Kestabilan… UMNO/BN Mampu Pertahan Kerusi DUN Pelangai

KUALA LUMPUR, 20 Sept – UMNO/Barisan Nasional (BN) pasti mampu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai kerana rakyat setempat mahukan kestabilan dan selari dengan kerajaan negeri dan pusat.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Pahang, Nurul Aslina Saman berkata, persiapan jentera sayap dan bahagian-bahagian angkat telah bermula bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai yang akan berlangsung tidak lama lagi.

“Persiapan jentera sayap parti dan juga bahagian-bahagian angkat sudah mula turun ke Pelanagi dari awal lagi. Antara gerak kerja jentera parti yang utama dan telah dipergiatkan pada peringkat awal ini ialah mendekati para pengundi.

“Setiap jentera sayap parti dan juga bahagian-bahagian mempunyai tanggungjawab masing-masing. Alhamdulilah, buat masa ini persiapan berjalan dengan lancar,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, kemenangan Pakatan Harapan (PH) di PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram baru-baru ini sedikit sebanyak memberi suntikan keyakinan serta semangat kepada semua parti Kerajaan Perpaduan.

“Kerjasama yang ditunjukkan oleh BN-PH di Pelangai ini sangat positif tambahan pula Setiausaha Agung Dap, Anthony Loke telah mengerahkan seluruh jentera mereka untuk membantu di Pelangai.

“Kemenangan di PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram baru-baru ini sedikit sebanyak memberi suntikan keyakinan serta semangat kepada semua parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk memenangkan, mempertahankan kerusi DUN Pelangai.

“Penyandang, Datuk Seri Johari Harun merupakan permata Pelangai. Bukan sesuatu yang mudah untuk mencari pengganti seperti arwah. Namun, BN pasti mampu menawan semula kerusi di DUN Pelangai kerana rakyat pasti mahukan kestabilan. Bagi memastikan kestabilan tersebut dapat dicapai, mereka perlulah memilih parti yang selari dengan kerajaan pusat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Nurul Aslina mengharapkan agar para pengundi di Pelangai membuat keputusan yang bijak dan tidak dipengaruhi oleh emosi mahupun sentimen yang sengaja ditimbulkan pihak lawan.

“Seperti yang kita tahu, pembangkang begitu terdesak ingin meraih sokongan pengundi sehingga sanggup menggunakan taktik kotor untuk mempengaruhi rakyat. Namun begitu, kita tidak akan membuang masa melayan politik tidak matang seperti itu. Fokus akan diberikan sepenuhnya bagi menyantuni seramai mungkin pengundi di Dun Pelangai bagi meyakinkan mereka untuk menerima kerajaan perpaduan.

“Namun begitu, kita tidak hanya akan berdiam diri tetapi akan turut menepis dan menjawab isu yang dimainkan akan oleh pihak pembangkang bagi memastikan pengundi tidak terpengaruh dengan taktik kotor mereka.

“Pesanan saya kepada semua pengundi agar dapat membuat keputusan yang tepat dan jangan mengundi mengikut emosi. Kita mahukan sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh demi kesejahteraan rakyat dan negara. Jadi, bersama kita kekalkan kestabilan negara dengan menolak kebencian dan pilih perpaduan,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Pelangai, Pahang pada 7 Oktober ini.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina di Shah Alam pada 17 Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Johari berjaya memenangi kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit