Kerajaan Persekutuan Tidak Pernah Nafikan Hak Negeri Kelantan – Ahmad Zahid

JELI, 7 Ogos – Kerajaan Persekutuan tidak pernah menafikan hak-hak yang sepatutnya dinikmati Kelantan kerana terlalu banyak inisiatif dilakukan setara dengan negeri-negeri lain.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata segala yang dilaungkan oleh kerajaan terbukti bukan hanya omongan kosong, tetapi pelaksanaan dan impaknya sebahagiannya telah dapat dirasai oleh rakyat.

“Anda semua boleh saksikan betapa kerajaan ini telah berusaha untuk membantu rakyat dengan sehabis baik termasuk masyarakat di desa dan pedalaman meskipun berada dalan situasi ekonomi yang sangat mencabar.

“Justeru, saya ingin mengajak saudara dan saudari semua untuk melihat dan berfikir dengan lebih rasional terhadap keupayaan yang dilakukan Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika berucap pada Program Desa Cerdas KEMAS di Plaza IMT-GT Bukit Bunga, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kebersamaan dan keserasian antara kerajaan pusat dan negeri dapat memberi nikmat yang lebih besar kepada rakyat di Kelantan dalam merealisasikan agenda membangun Malaysia MADANI.

“Saya tahu masyarakat di negeri Kelantan telah sekian lama dimomokkan oleh kumpulan tertentu tentang ancaman terhadap keharmonian dan nilai-nilai masyarakat Malaysia oleh parti-parti tertentu di dalam gabungan Kerajaan Perpaduan ini.

“Sejujurnya saya sendiri tidak nampak di mana relevannya sesetengah pihak yang membuat dakwaan bahawa Kerajaan Perpaduan telah bersikap pilih kasih dan menganaktirikan negeri-negeri yang tidak sehaluan politik dengan kerajaan Persekutuan,” katanya. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.