PRN: Pengundi Awal Tunai Tanggungjawab Esok

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Seramai 97,388 individu terdiri daripada anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan polis bersama pasangan masing-masing akan menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, esok.

Pengundian awal turut melibatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu, susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun yang membatalkan kemenangan calon PAS Datuk Ahmad Amzad Hashim pada Pilihan Raya Umum ke-15 selepas mendapati berlaku perbuatan rasuah.

Menurut SPR, Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan untuk PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dan PRK Kuala Terengganu adalah daftar pemilih terkini yang dikemas kini sehingga 21 Jun 2023.

Ia menyaksikan seramai 49,660 anggota ATM dan 47,728 anggota polis bersama pasangan masing-masing, akan mengundi di 260 pusat mengundi awal yang mengandungi 377 tempat mengundi atau saluran awal bagi PRN.

PRK Kuala Terengganu pula akan melibatkan pengundi awal yang terdiri daripada 1,362 anggota polis dan 35 anggota tentera bersama pasangan dengan empat pusat mengundi awal dibuka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu.

Kesemua pusat pengundian awal bagi PRN di enam negeri dan PRK Parlimen Kuala Terengganu akan dibuka serentak pada pukul 8 pagi dan akan ditutup secara berperingkat mengikut kedudukan kawasan pusat mengundi.

Di Kuala Terengganu pusat pengundian awal pertama yang akan ditutup ialah bagi bahagian pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk pada pukul 12 tengah hari diikuti DUN Bandar pada pukul 2 petang dan yang terakhir DUN Ladang pada 5 petang, manakala bagi DUN Wakaf Mempelam tiada pusat pengundian awal.

SPR menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi PRN melibatkan enam negeri dan PRK Kuala Terengganu masing-masing pada 29 Julai dan 8 Ogos, manakala hari pengundian pada 12 Ogos ini.

PRN ini melibatkan 36 kerusi DUN di Kedah; Kelantan (45); Terengganu (32); Pulau Pinang (40) Selangor (56) serta 36 DUN di Negeri Sembilan.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula hari penamaan calon pada 29 Julai lepas dan akan berakhir pada 11.59 malam, 11 Ogos. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.