Bila Berada Di Luar Terus Burukkan UMNO… Mereka Tidak Beriman Dengan Takdir
BALIK PULAU, 7 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah membidas beberapa bekas pemimpin yang dilihat tidak henti memburukkan serta mahu merosakkan UMNO walaupun sudah berada di luar parti.
Golongan ini tegasnya, adalah mereka yang tidak mahu menerima takdir dan ketentuan Allah ke atas kedudukan politik mereka di dalam UMNO.
“Bagi saya mereka ini tidak bersyukur. Mereka tidak boleh terima qadar tuhan. Contoh Tan Sri Muhyiddin (Muhyiddin Yassin) lama berada di dalam UMNO dari muda sampai menjadi Timbalan Presiden.
“Bila dia tidak boleh terima takdir Allah, maka dia serang UMNO. Itu menunjukkan dia gagal di situ, rukun iman keenam qada’ dan qadar dia tidak terima. Kalau dia terima rukun iman itu, kalau jadi apa-apa masalah berserah kepada Allah.
“Begitu juga Annuar Musa, asalnya orang mana? Kaya dia macam mana… kekayaan dia mai (datang) dari mana… bukankah daripada parti UMNO ini? Mereka ini cakap agama pandai… tetapi apabila diuji oleh Allah SWT… dia tidak beriman dengan takdir Allah SWT. Begitu juga dengan Datuk Seri Hamzah (Hamzah Zainuddin)… dia serang UMNO,” katanya lagi.
Seterusnya ulas Shah Headan, begitu juga dengan tindakan mereka yang menjadikan Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai alasan untuk mengabsahkan kelakuan mereka berterusan memburukkan UMNO.
“Kalau dia serang Presiden… dia juga tidak dapat terima keputusan Allah yang mentakdirkan Presiden (Ahmad Zahid) menjadi Presiden. Presiden duduk di situ ditakdirkan Allah menjadi Presiden.
“Yang hang nak sanggah takdir Allah ini kenapa? Allah telah tulis yang Presiden akan menjadi Presiden. Datuk Seri Zahid akan jadi presiden. You bukan lawan Zahid… you lawan takdir tuhan.
“Annuar Musa yang pandai cakap agama itu… dia pun lawan takdir tuhan. Sanggup bubarkan UMNO, serang yang bukan-bukan kerana dia tidak beriman kepada Allah SWT,” tegasnya. – UMNO ONLINE