Manifesto Perpaduan P. Pinang Komprehensif, Prihatin Anak Muda – Ahmad Zaki

TELOK BAHANG, 6 Ogos – Manifesto Perpaduan Pulau Pinang yang diketengahkan oleh Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) adalah tawaran pada kesinambungan kepada dasar, polisi dan rekod prestasi kerajaan negeri untuk terus berkempen meraih undi dan sokongan rakyat.

Calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Bahang, Ahmad Zaki Shah Headan berkata manifesto ini mempunyai intipati yang komprehensif serta mendekati semua kumpulan termasuk anak muda.

Jelasnya, perumahan untuk anak muda merupakan agenda utama kerana saban tahun golongan tersebut mengeluh dengan harga yang dilihat tidak mampu memilikinya.

“Paling utama adalah projek skim perumahan mampu milik untuk pembeli rumah yang pertama. Isu perumahan merupakan isu utama dan sangat kritikal kerana disebabkan harga rumah yang tinggi dan disebabkan tanah yang terhad. Apabila kerajaan boleh menyelesaikan isu-isu utama ia akan menarik balik sokongan anak-anak muda dan semua golongan menyokong Kerajaan Perpaduan.

“Banyak manifesto yang menarik pada anak muda terutamanya bagi anak muda yang pertama kali berkahwin akan menerima wang saguhati sebanyak RM500 dan ini dapat meringankan beban setelah memasuki alam perkahwinan.

“Selain itu Kerajaan Perpaduan juga mengiktiraf sukan e-sport dan akan membina akademik sukan tersebut bagi anak-anak muda yang berminat dan berkecimpung dalam sukan tersebut. Tidak ketinggalan juga melancarkan tempat gimnasium untuk belia di kawasan kampung dan bandar yang disubsidi oleh kerajaan,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.

Zaki yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Balik Pulau berazam untuk mempertingkatkan lagi kualiti pendidikan bagi anak-anak muda di Telok Bahang.

“Selain perumahan belia mahu melihat perkembangan di sektor pendidikan. Di kawasan ini pendidikan mendapat yang tercorot setiap kali keputusan peperiksaan berdasarkan rekod jabatan pendidikan negeri dan ini adalah azam saya.

“Saya sendiri mendapat pendidikan awal di sini dan banyak potensi dari pelajar-pelajar perlu digilap supaya dapat melanjutkan pelajaran ke menara gading.

“Peranan wakil rakyat cukup penting bagi membimbing, memberi motivasi dan menggilap minat mereka untuk bawa ke saluran yang betul supaya selari apa yang diinginkan,” jelasnya lagi.

Terdahulu Manifesto Perpaduan Pulau Pinang yang telah dibentangkan itu termasuk menambah baik program bantuan kepada warga emas, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) dan miskin tegar, memperkenalkan Skim Perumahan Sewa Khas kepada golongan belia atau bujang.

Turut tersenarai adalah pemberian bantuan RM500 secara ‘one-off’ di bawah Program Mempelai Emas yang baharu mendirikan rumah tangga, bantuan RM1,000 kepada setiap jemaah haji golongan B40, sumbangan komputer riba percuma kepada pelajar B40 dan lain-lain. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.