Jangan Terpedaya Mainan Persepsi PN, PRN Tidak Gugat Keutuhan Kerajaan Pusat – Dr Asyraf

BALING, 5 Ogos – Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menasihati pengundi-pengundi di enam negeri tidak terpengaruh dengan persepsi yang sering dimainkan oleh Perikatan Nasional (PN).

Katanya, sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) ini, pihak mereka cuba mengelirukan rakyat dengan mengatakan keputusan pilihan raya di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) akan mempengaruhi kedudukan kerajaan pusat.

“Banyak persepsi yang mengatakan jika Perikatan Nasional menang di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan maka bulan lapan (Ogos) ini akan bertukar kerajaan. Ini bukan sahaja pemimpin atas (PN) tetapi skuad bisik mereka. Jangan pandang lekeh dengan jentera mereka itu.

“Masuk akal atau tidak? Tidak masuk akal… kerana ini pilihan raya negeri tiada kaitan dengan pusat. Pusat sekarang sudah ada satu kerajaan yang kuat,” katanya ketika berucap di majlis taqarrub dan ramah mesra bersama pengundi DUN Bayu di Dewan Bangor Batu 48, di sini Jumaat petang.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Ketua UMNO Bahagian Gerik Datuk Aznel Ibrahim dan calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Bayu Datuk Ishak Mat dan pimpinan Pakatan Harapan (PH) setempat.

Ulas Dr Asyraf lagi, sejarah penubuhan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jelas menunjukkan BN dan PH menjunjung perpaduan dan mengutamakan kepentingan negara.

“Kehendak Allah keluar keputusan (PRU-15) tiada siapa ada majoriti tubuh kerajaan. Allah SWT beri ilham kepada Yang di-Pertuan Agong dengan menggunakan kebijaksanaan panggil ketua-ketua parti supaya tubuh Kerajaan Perpaduan. Tan Sri Muhyiddin Yasin buat sidang media tolak.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim setuju. Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akur cuma perlu bawa ke Majlis Kerja Tertinggi untuk mendapatkan keputusan parti dan secara prinsipnya setuju. UMNO akur dan junjung titah tuanku. GPS, GRS dan parti-parti lain setuju.

“Semua setuju kecuali satu yang tolak iaitu PN. Maknanya apa? Maknanya kita sokong perpaduan dan tak sokong perpecahan. Kita akur titah raja, buang kesombongan, keangkuhan dan ego,” katanya lagi.

Hasilnya tambah Dr Asyraf lagi, negara kini semakin stabil politiknya dan jelas kelihatan pelabur mula masuk satu persatu ke dalam negara dan seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat.
Berhubung dengan PRN ini, Dr Asyraf berharap agar semua jentera terutama BN dan PH bekerjasama bagi memenangkan calon kedua-dua parti gabungan itu di setiap kerusi yang dipertandingkan.

“Kita kena kerja keras pastikan calon BN di Bayu ini menang. Saya mohon rakan PH bantu BN, di tempat lain jentera BN menangkan calon PH. Di mana kita bertanding PH tolong kita, di mana PH bertanding kita tolong mereka.

“Insya-Allah kalau sama-sama tolong kita tubuhkan Kerajaan Negeri Kedah sama dengan pusat, ‘Kalih bagi sama’,” katanya.

Dalam ucapannya juga, Dr Asyraf berpesan kepada semua jentera agar berkempen dengan menggunakan bahasa yang baik dan jangan mencontohi Menteri Besar Kedah yang bangga menggunakan bahasa-bahasa yang tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang pemimpin. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.