Bukan Calon Payung Terjun, Hasnal Rezua Merican Tekad Selesaikan Pelbagai Isu Rakyat
RAWANG, 4 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang, Datuk Hasnal Rezua Merican menegaskan bahawa dirinya bukanlah calon ‘payung terjun’ yang tiba-tiba muncul dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Sebaliknya kata beliau, kehadirannya selaku calon bagi merampas DUN Kuang adalah untuk membantu menyelesaikan segala permasalahan rakyat.
“Saya ingin menyatakan kepada semua bahawa kehadiran saya bukanlah sebagai payung terjun tetapi saya adalah Ketua UMNO Bahagian Selayang, sebelum itu saya adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Selayang, sebelumnya jadi naib dan juga ketua penerangan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Selayang.
“Saya menjadi Ketua Cawangan di Bandar Baru Kundang bermula dari tahun 2000, jadi saya sudah bertapak di sini sudah 23 tahun, ia bukanlah satu tempat yang asing bagi saya dan saya komited untuk menyelesaikan masalah rakyat.
“Saya adalah Pengarah PDM yang pertama di Bandar Tasik Puteri ini pada tahun 2004. Kita dalam BN komited untuk peduli dan selesaikan masalah rakyat, kerana itu kita tidak ambil enteng dan tidak sembarangan meletakkan calon untuk bertanding dalam pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program ceramah kempen PRN DUN Kuang di Bandar Tasik Puteri, di sini malam tadi.
Ujar Hasnal Rezua Merican, UMNO/BN sentiasa bertekad untuk berkhidmat kepada rakyat dan menyelami permasalahan tempatan.
“Boleh saya katakan bahawa saya tahu apa permasalahan di sini iaitu berkisar tentang isu hakmilik strata yang perlu diselesaikan, ada isu tapak perniagaan penjaja, ada isu penempatan persekolahan yang tidak mencukupi kerana bangunan sekolah adalah terhad, ada masalah sekolah kafa kerana ada ibu bapa yang terpaksa menghantar anak ke sekolah swasta, isu ketiadaan dewan orang ramai untuk majlis keraian.
“Kita masuk sini bukan setakat nak bersilat atau nak tengok siapa lawan kita, bukan siapa yang boleh beri sentimen atau siapa yang boleh meracuni fikiran rakyat dan menjaja kepalsuan sebagai kebenaran sehingga pengundi-pengundi boleh terpengaruh lantas mengundi kepimpinan yang salah iaitu yang tidak memahami masalah dihadapi.”
Justeru katanya yang juga pengamal undang-undang, beliau mengambil pendirian selaku calon untuk menjadi wakil rakyat dengan sedia bekerja kepada masyarakat setempat.
“Insya-Allah jika saya dipilih sebagai wakil rakyat di sini saya bertekad untuk melihat semua masalah dan insya-Allah dengan semua jentera yang ada maka kita akan cuba selesaikan.
“Saya merayu berilah saya kesempatan untuk menjadi wakil rakyat di sini kerana saya yakin mampu melaksanakan tanggungjawab dan membantu menyelesaikan pelbagai isu di sini,” katanya lagi.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed; Ketua UMNO Bahagian Semporna, Abdul Manan Indanan; Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Samasudin Yusop dan barisan kepimpinan UMNO tempatan.
Hasnal Rezua Merican dicalon untuk mewakili BN bagi merebut kerusi DUN Kuang berhadapan dengan penyandang kerusi itu, Sallehudin Amiruddin (Bebas) dan Mohd Rafiq Abdullah (PN-Bersatu).
PRN di Selangor, Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan pada 12 Ogos ini akan diadakan serentak dengan Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, dengan pengundian awal ditetapkan pada 8 Ogos ini. – UMNO Online