Tidak Ada Terkeliru, Rakyat Tumpu Undi Dacing – Bibi Sharliza
KUALA PILAH, 5 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN), Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid menafikan dakwaan bahawa rakyat akan terkeliru memilih calon pada kertas mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Jelas beliau ini kerana, rakyat sudah terbiasa dengan logo dacing yang sudah digunakan BN sejak sekian lama.
“Tidak ada terkeliru kerana hanya ada dua orang sahaja yang bertanding di DUN Juasseh dan kita masih menggunakan lambang dacing.
“Lagipun lambang ini daripada dahulu orang pangkah dan juga buat masa sekarang ini mungkin dahulunya ada rakyat yang mengundi dacing namun beralih, cumanya kena pangkah balik itu sahaja yang perlu kita terangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan ‘walkabout’ bersama Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said di Desa Bukit Gelugor, semalam.
Bibi Sharliza yang juga Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan berkata beliau memanfaatkan hari-hari berkempen ini untuk bertemu rakyat bagi memperkenalkan diri sebagai calon.
Menurut beliau pemahaman berkenaan kerajaan Perpaduan juga sudah dilakukan awal kepada rakyat di kawasan berkenaan mengenai kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
“Kita sudah memberi pemahaman sebelum bertanding Kerajaan Perpaduan turun bersama-sama memberi penerangan.
“Kemudiannya cara berkempen pun kita memberitahu yang kali ini mereka kena mengundi dacing, mungkin untuk kali pertama ada juga yang kena mengundi semula itu kena terangkan.
“Alhamdulillah kita turun berjumpa dengan rakyat yang hendak mengundi, bukan sahaja ahli UMNO tetapi BN dan PH. Saya kena berjumpa untuk memahamkan pengundi kerana kali ini cara kita berkempen agak berlainan,” ujar beliau.
Untuk rekod, DUN Juasseh ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara Bibi Sharliza dengan Datuk Eddin Syazlee Sith yang mewakili Perikatan Nasional (PN). – UMNO Online