BN Terus Dekati Anak Muda, Seru Pilih Parti Yang Lebih Bertanggungjawab – Abdul Paris

JERAI, 6 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Guar Chempedak, Abdul Paris Abdul Hamid berkeyakinan dapat menarik kembali anak muda pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ini kerana katanya BN telah memperbaiki kelemahannya dan terus mendekati golongan ini kerana generasi muda adalah aset negara yang sangat bernilai.

“Kita kehilangan pengaruh anak muda kerana kurang mendekati golongan ini serta mengabaikan hubungan mereka. Ini menyebabkan pihak PN (Perikatan Nasional) mengambil kesempatan sepenuhnya dan menggunakan peluang atas kelemahan BN yang kurang melibatkan pada anak muda.

“Kita tahu anak-anak muda ini mempunyai ‘ikon’ tersendiri dan sekarang ini ada beberapa orang yang dijadikan ikon anak muda. Kita akan menggunakan individu-individu ini serta yakin mereka boleh membawa imej yang baik untuk kalangan mereka.

“Sebelum menjelang pilihan raya BN telah mendekati sekumpulan anak muda dan mereka telah kembali menggunakan ikon mereka. Kita telah mengenal pasti dan mereka juga bakal pemimpin masa depan yang mampu menarik golongan tersebut,” katanya ketika ditemui UMNO Online di sini.

Jelas Naib Ketua UMNO Bahagian Jerai itu, pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang koperasi dan sentiasa membantu rakyat termasuk anak muda akan menjadi kelebihan bagi dirinya.

“Bagi masyarakat setempat, anak muda serta kumpulan-kumpulan lain yang memerlukan pembelaan dari segi ekonomi adalah dengan membabitkan dalam koperasi.

“Koperasi ini terbuka pada semua pihak jadi tidak mustahil ada gabungan anak muda untuk menambah nilai aktiviti mereka terutamanya dalam bidang ekonomi,” katanya lagi.

Sementara itu Abdul Paris mengharapkan rakyat di DUN Guar Chempedak membuka minda serta menilai parti mana yang layak mentadbir negeri ini.

“Saya harap rakyat dapat membuka minda menilai parti mana yang lebih layak dan lebih baik untuk masa depan generasi muda ini dan siapakah yang lebih layak dan sesuai untuk mengambil tanggungjawab ini.

“Anak muda sepatutnya menilai dan melihat dari sudut pentadbiran negara dan negeri terutamanya BN dan golongan ini bakal memimpin masa depan,” jelas beliau. – UMNO Online


@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.