PRN Selangor: Pastikan Hanya Calon Kerajaan Perpaduan Pilihan Utama – Bung Moktar

GOMBAK, 2 Ogos – Pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu menolak calon Perikatan Nasional (PN) apabila mereka dilihat cuba memperlekehkan sekali gus didakwa menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, inilah bukti besar mengapa pengundi perlu menolak apabila dilihat mereka terlalu angkuh sehingga membabitkan Sultan Selangor dalam siri ceramah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor baru-baru ini.

Katanya, sepatuhnya PN perlu menghormati dengan tidak melibatkan institusi Diraja dalam kancah siri ceramah mereka.

“Kita serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan terhadap kes ini. Apa yang penting rakyat atau pengundi di DUN Gombak Setia ini boleh menilai antara calon yang mereka senangi.

“Kawasan DUN Gombak Setia ini BN diwakili oleh Datuk Megat Zulkarnian Omardin manakala bagi DUN Sungai Tua, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Selaseh, di sini malam tadi.

Bung Moktar yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah berkata, dalam tempoh sama calon di pihak pembangkang juga mendakwa kononnya kerajaan di peringkat negeri serta persekutuan akan bertukar selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

“Ini adalah bukti satu lagi pembohongan besar mereka dengan sengaja mengelirukan rakyat secara terbuka apabila bercakap tanpa ada bukti kukuh.

“Kita masih mempunyai baki tempoh kempen dalam PRN ini untuk memastikan jentera Kerajaan Perpaduan mencapai kemenangan besar pada malam 12 Ogos ini nanti,” kata Bung Moktar lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.