Ahmad Said Harap Rakyat Terengganu Sedia Lakukan Perubahan, Cukup-cukuplah Dengan Pas

KEMAMAN, 2 Ogos – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said sedia melakukan perubahan pada 12 Ogos nanti dalam usaha menolak Pas sebagai peneraju kerajaan negeri setelah sepenggal sebagai pemerintah.

Menurut beliau yang juga calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini, tidak ada apa yang dilaksanakan oleh Pas termasuklah soal peluang pekerjaan yang melibatkan golongan muda di negeri tersebut sebaliknya penuh dengan kosmetik semata-mata.

“Kembalikan pentadbiran BN, apa yang mereka buat sepanjang tempoh lima tahun. Nak buat setiap daerah Bandar Lestari… saya nak tanya apa itu Bandar Lestari sebenarnya. Tidak boleh dijawab… berapa dah dilaksanakan.

“Usahkan mahu buat setiap daerah… satu daerah pun tidak ada lagi. Saya buat di Bandar Baru Kijal apa mereka tidak kritik. Kemudian fasa kedua saya buat jambatan tiga lorong sebelah… fasa kedua begitu juga… peruntukan dah ada. ‘Last-last’ mereka kecilkan menjadi empat lorong daripada enam lorong.

“Jambatan enam lorong dijadikan empat lorong… jambatan ini bukan senang dari segi teknikalnya… nak tambah kemudian hari nanti bukan satu langkah yang senang. Macam kita buat masjid. Masjid cantik untuk memuatkan jemaah 500 orang. Kemudian lima tahun jemaah hampir seribu dan sudah pasti akan melibatkan penambahan yang akhirnya menjadikan empat segi masjid tersebut dan hilang keindahan asal.

“Apatah lagi jambatan… bukan senang untuk tambah satu lorong lagi dari sudut teknikalnya dan kos. Jalan pula… ingat empat lorong ini besar ke… jalan empat lorong di dalam bandar sekarang boleh tengok apa jadi. Kesesakan berlaku dan sebab itu saya katakan saya buat Bandar Baru Kijal itu saya ‘copyright’ daripada Putrajaya,” katanya kepada UMNO-Online.

Bandar Baru Kijal tambah Ahmad Said lagi telah meletakkan ciri-ciri Bandar Lestari dan beliau telah memulakan sebelum ini lagi walaupun permulaan melibatkan kos yang tinggi.

“Untuk tempoh jangka masa panjang ianya adalah terbaik… ini baru ada wawasan. Ini boleh dianggap Bandar Lestari. Ini sekadar sebut sahaja lestari tetapi apa yang nampak?” ujarnya.

Justeru ujar beliau lagi rakyat janganlah tertipu sekali lagi dengan segala retorik Pas dan beliau berharap 12 Ogos nanti akan ada perubahan di Terengganu. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.