Kerja Keras Dan Bergerak Satu Pasukan, Ingatan Bung Kepada Jentera Parti

KLANG, 2 Ogos -Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mahu semua jentera parti politik di bawah Kerajaan Perpaduan khususnya jentera BN dari Sabah bekerja keras dan bergerak dalam satu pasukan bagi memastikan kemenangan gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Beliau berkata Jentera BN Sabah yang diamanahkan menjaga 12 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakili oleh UMNO/BN perlu menunjukkan komitmen yang tinggi semasa berkempen termasuk membantu calon-calon Kerajaan Perpaduan di kawasan-kawasan DUN yang lain.

“Setakat ini jalinan kerjasama jentera parti Kerajaan Perpaduan BN/PH berjalan baik dan saya harap momentum ini akan berterusan sehingga ke hari pengundian bagi memastikan kemenangan berpihak kepada calon-calon Kerajaan Perpaduan untuk membentuk kerajaan negeri selepas PRN ini,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang diselaraskan oleh UMNO bahagian-bahagian dari Sabah baru-baru ini.

Semasa lawatan ini Bung sempat ke kawasan DUN N.44 Selat Klang bertemu calon BN, Roslee Abd Hamid dan turut memberikan suntikan semangkat kepada jentera parti di kawasan tersebut.

Mengiringi beliau Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Arifin dan beberapa orang Ketua UMNO bahagian dari Sabah.

Menurut Bung yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah amanah yang diberikan oleh pucuk pimpinan bagi membantu berkempen di Selangor akan menjadi pembuka lembaran baharu politik negara.

Katanya, ini diaplikasi dengan gerak kerja yang lebih padu dan tersusun daripada setiap ahli serta pendukung parti di dalam PH dan BN, khususnya bagi menawan hati pengundi yang sebahagiannya daripada golongan cerdik pandai.

Beliau berkata kemenangan di Selangor tidak hanya berkisar kepada kejayaan PH dan BN semata-mata, sebaliknya ia menjadi simbol kepada usaha Kerajaan Perpaduan mengangkat martabat Malaysia kembali disegani di rantau ini.

“Kita faham di Selangor ini ramai orang yang cerdik pandai serta matang dalam politik, kejayaan kali ini akan menentukan standard baharu politik di dalam negara ini,” katanya.

Sehubungan itu Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO mahu setiap gerak kerja jentera parti perlulah dengan semangat, keikhlasan selain niat yang betul untuk menyelamatkan rakyat, negeri, agama dan negara daripada mereka yang rakus kuasa, pelampau agama dan perkauman yang sempit.

Dalam pada itu Bung juga turut mengingatkan jentera UMNO/BN dari Sabah agar melaksanakan kempen secara sopan dan berhemah menghormati adat resam masyarakat setempat. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.