33 Tahun Mentadbir… Pas Masih Gagal Selesai Masalah Peluang Pekerjaan – Azmi

KETEREH, 2 Ogos – Kerajaan Negeri Kelantan yang ditadbir oleh Pas ternyata telah gagal untuk menyelesaikan masalah peluang pekerjaan kepada rakyat meskipun telah mentadbir selama 33 tahun.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melor, Azmi Ishak berkata, adalah penting untuk menyelarikan pentadbiran dan pusat agar segala permasalahan negeri dapat diselesaikan sebaiknya.

“Sangat-sangat penting untuk kita menyelarikan pentadbiran negeri dan pusat kerana ianya bakal membolehkan segala kemudahan disalurkan dengan mudah.

“Sekiranya kerajaan negeri dan pusat selari, banyak masalah dapat diselesaikan dengan mudah seperti masalah jalan raya, air dan peluang pekerjaan. Apatah lagi untuk kepentingan rakyat dalam kehidupan seharian.

“Kita di kelantan agak tidak bernasib baik kerana sudah 33 tahun mempunyai kerajaan yang tidak selari dengan pusat. Kalau selari, saya yakin pembangunan yang ketinggalan di Kelantan kalau tidak boleh diselesaikan semuanya, setidak-tidaknya boleh diselesaikan sebahagiannya,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, tempoh masa 33 tahun ini adalah terlalu lama namun mereka masih gagal untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu rakyat sejak sekian lama.

“Saya tengok dalam masa 33 tahun ini memang Pas gagal terutamanya dalam menyediakan kemudahan ataupun peluang pekerjaan kepada rakyatnya sendiri.

“33 tahun ini masa yang cukup lama. Sepatutnya dalam tempoh masa ini separuh daripada masalah penghijrahan anak-anak kita terutamanya yang mendapat pendidikan tinggi bekerja di Kelantan dapat diselesaikan.

“Tetapi kerajaan negeri gagal berbuat demikian walaupun Kelantan ini sebuah negeri kaya dengan emas, bijih dan mempunyai lokasi pelancongan yang boleh dimajukan. Semuanya tidak dilaksanakan mungkin sebab pentadbiran negeri yang tidak selari dengan kerajaan pusat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru seluruh rakyat Kelantan agar melakukan perubahan dengan memilih kerajaan yang selari dengan pusat agar kemajuan di negeri tersebut dapat dicapai.

“Saya minta semua jentera bekerjalah sehabis Daya yang mungkin supaya untuk prn ini kita boleh memberi kepercayaan kepada Kerajaan Perpaduan yang berada di pusat.

“Kepada para pengundi, Saya rasa sudah tiba masanya. Membiarkan kerajaan negeri yang tidak selari dengan pusat dalam tempoh terlalu lama adalah satu petanda tidak baik kepada sesebuah negeri.

“Kita minta pengundi-pengundi bukan saja di Melor tetapi di seluruh Negeri supaya menjadikan kertas undi untuk melihat satu bentuk perubahan besar di Kelantan,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.