Ketengah Calon Baharu, Muda Bukti UMNO/BN Tidak Ketandusan Pemimpin

TAMPIN, 1 Ogos – Keterbukaan parti yang memberi kepercayaan kepada calon daripada Pergerakan Pemuda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) memberikan signal bahawa UMNO/Barisan Nasional (BN) tidak ketandusan pemimpin baharu.

Bagi calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar, beliau meluahkan kesyukuran kerana diberikan amanah ini dalam meneruskan khidmat bakti kepada rakyat.

“UMNO/BN tidak ketandusan pemimpin muda, saya juga adalah daripada kilang Pergerakan Pemuda. Ahamdulillah terpilih dan antara wakil Pemuda peringkat Negeri Sembilan.

“Melalui PRN ini kita akan yakinkan masyarakat yang Pemuda ini akan sentiasa bekerja untuk masyarakat.

“Malah saya di pihak Pemuda akan terus memperjuangkan parti sehingga kita dapat membawa parti ini ke puncak semula,”katanya.

Suhaimizan berkata demikian ketika ditemui pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Dan Perpaduan DUN Gemencheh yang diadakan baru-baru ini.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Tampin dalam pada itu turut sama meluahkan kepercayaan kepada rakyat di kawasan ini untuk memberikan peluang kepada dirinya bagi memberikan sumbangan kerusi Gemencheh untuk pembentukan Kerajaan Perpaduan di negeri ini.

“Setakat ini di Gemencheh penerimaan golongan muda amat baik, malah dengan program ini kita berjaya kumpul hampir 500 orang muda berkonvoi bersama.

“Ini menunjukkan sokongan anak muda termasuk keseluruhan rakyat amat baik kepada Kerajaan Perpaduan,” ujar beliau.

Untuk rekod, DUN Gemencheh ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara Suhaimizan dengan Tengku Abdullah Tengku Rakman yang mewakili Perikatan Nasional (PN). – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.