Bung Moktar Optimis Calon Kerajaan Perpaduan Akan Ungguli Kejayaan PRN Selangor

GOMBAK, 30 Julai – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin optimis Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam gabungan Kerajaan Perpaduan mampu menguasai Selangor untuk membentuk kerajaan dengan kemenangan melebihi dua pertiga.

Katanya tidak banyak isu yang boleh dimainkan oleh pihak lawan khususnya Perikatan Nasional (PN), jika mereka menyentuh soal kemajuan pembangunan kerana Selangor adalah antara yang termaju di negara ini dan telah mula digerakkan sejak BN-PH menerajui kerajaan itu.

“Kalau mereka (PN) bercakap soal kemajuan semua orang akui kemajuan Selangor, jadi pihak (PN) hanya akan mainkan isu sentimen perkauman untuk menakut-nakutkan pengundi Melayu Islam, satu isu kempen yang tidak sihat, memecah-belahkan perpaduan kaum dan boleh membantutkan usaha membangunkan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi calon-calon kerajaan Perpaduan BN-PH melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) N17 Gombak Setia, Datuk Megat Zulkanain Omardin (BN); DUN N16 Sungai Tua Datuk Seri Amirudin Shari (PH) dan calon DUN N18 Hulu Kelang, Juwairiya Zulkifli (PH) ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Sekolah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu Gombak di sini, pada Sabtu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani turut menyertai ribuan penyokong BN-PH ke pusat penamaan tersebut.

Menurut Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, pada PRN kali rakyat Selangor perlu memilih calon-calon dari PH dan BN agar kerajaan yang dibentuk selepas PRN nanti adalah sebuah kerajaan yang selari dengan kerajaan pusat bagi meneruskan agenda kemakmuran dan kestabilan politik khususnya di negeri Selangor.

“Kita di Sabah sebelum ini mempunyai pengalaman apabila kerajaan negeri tidak sehaluan dengan kerajaan pusat banyak perkara yang akan membawa kerugian kepada rakyat terutamanya dari segi agihan peruntukan dan ini turut membantutkan usaha untuk membawa lebih banyak pembangunan demi kesejahteraan rakyat,” tegas Bung.

Mengenai jentera BN dari Sabah yang ditugaskan membantu calon-calon BN-PH yang dianggarkan seramai 450 orang, Bung berkata sebilangannya sudah mula berkampung di sini dan agihan tugas sudah diberikan dengan setiap dua bahagian akan membantu satu calon khususnya calon-calon BN yang bertanding pada PRN kali ini.

“Jentera kita akan bergerak dan berkempen dengan pendekatan yang sesuai dengan situasi setempat, kita akan fokus kepada perpaduan kaum, pengalaman hubungan pelbagai kaum di Sabah dalam suasana yang harmoni akan kita kongsikan bersama dengan pengundi di sin,“ katanya.

Bung berkata Jentera BN Sabah juga akan menguna pakai aplikasi strategi baharu untuk membantu calon-calon BN-PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali dan jika ia berkesan serta memberikan keputusan yang positif ianya akan diguna pakai oleh BN Sabah bagi menghadapi PRN Sabah akan datang. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.