Kerajaan Perpaduan Serius Bangunkan Negara, Tolak Kontroversi Dan Provokasi Melampau – Bung Moktar

GOMBAK, 30 Julai – Kerajaan Perpaduan adalah serius dalam usaha untuk membangunkan negara dengan mengangkat perpaduan demi kestabilan dan kemakmuran.

Dalam hal ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berharap agar anggota parti khususnya jentera Barisan Nasional (BN) – Pakatan Harapan (PH) tidak terperangkap dengan tingkah pihak lawan yang mula melakukan provokasi dengan pelbagai isu termasuk fitnah.

“Kita maklum daripada awal pihak lawan sedang membuat provokasi yang melampau dengan isu-isu dan fitnah sebagainya tapi pada saya jentera-jentera BN perlu mengetengahkan isu-isu yang bernas yang boleh diterima pada masyarakat hari ini,” katanya kepada UMNO Online.

Jelas beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO merangkap Ahli Parlimen Kinabatangan, isu-isu provokasi dan kontroversi bukanlah sesuatu yang perlu menjadi amalan kerana ia bercanggah dengan peraturan dan undang-undang negara.

“Buat isu-isu kontroversi seperti provokasi melampau ini bukanlah satu isu ataupun perkara yang kita galakkan sebab ianya bercanggah dengan peraturan dan undang-undang negara kita sendiri.

“Saya yakin masyarakat khususnya pengundi di dalam negeri ini cukup memahami bahawa Kerajaan Perpaduan ini serius untuk membangunkan negara rakyat,” katanya lagi.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata semua kaedah dan bahan kempen adalah dibenarkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu, kecuali kaedah dan bahan kempen yang menyebarkan perasaan jahat, tidak puas hati atau menimbulkan provokasi.

PRN yang melibatkan 36 DUN di Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36) akan diadakan pada 12 Ogos bersekali dengan PRK Parlimen Kuala Terengganu. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.