Rakyat Kelantan Perlu Pilih Calon Tepat, Nikmati Lebih Banyak Pembangunan – Ahmad Zahid

PASIR MAS, 29 Julai – Rakyat di Kelantan perlu membuat keputusan yang tepat dengan memilih calon daripada Barisan Nasional dan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini bagi membolehkan lebih banyak peruntukan disalurkan oleh kerajaan Pusat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpendapat rakyat Kelantan telah menderita dan sengsara selama 33 tahun di bawah pentadbiran PAS dengan masalah-masalah seperti bekalan air bersih dan peluang pekerjaan.

“Mereka telah lama terseksa dan mahu masalah yang dihadapi seperti masalah air bersih selesai selain mengatasi masalah ketiadaan peluang kerja sehingga memaksa golongan muda berhijrah,” katanya ketika berucap semasa hadir memberi sokongan kepada calon BN dan PH yang bertanding bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chetok, Gual Periok dan Apam Putra di Kompleks Apam Putra di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN turut serta dalam perarakan bersama calon serta hampir 500 penyokong BN dan PH ke pusat penamaan calon di Kolej Vokasional Pasir Mas yang melibatkan tiga DUN iaitu Tendong, Pengkalan Pasir dan Meranti.

Mengulas lanjut, beliau berkata kesungguhan Kerajaan Perpaduan dalam menyelesaikan masalah rakyat Kelantan telah dibuktikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan meluluskan peruntukan berjumlah RM1.7 bilion bagi mengatasi masalah air di negeri ini selain projek tebatan banjir.

“Demi keadilan dan kesaksamaan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan tetap meluluskan peruntukan tersebut walaupun negeri Kelantan diperintah oleh PAS kerana ini bukan manifesto.

“Kita berazam kalau Kelantan boleh diubah dan kita dapat mentadbir negeri ini, kita janji selesaikan masalah yang ditanggung rakyat malah lebih banyak peruntukan pembangunan dan projek-projek lain akan menyusul jika pentadbiran kerajaan negeri selari dengan kerajaan Pusat,” katanya. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.