Pertembungan Satu Lawan Satu Di DUN Permaisuri
SETIU, 29 Julai – Suasana Pusat penamaan calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu berjalan lancar dan menyaksikan pertembungan satu lawan satu.
Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu yang merupakan lokasi pusat penamaan calon menjadi tumpuan penyokong kedua-dua belah parti sejak awal pagi dengan masing-masing menaikkan ‘banner’ dan bendera parti.
Calon Barisan Nasional (BN), Hamdan Hamzah akan bertembung dengan calon Pas yang diwakili Mohd Yusop Majid.
Pegawai Pengurus PRN bagi DUN Permaisuri, Ahmad Rizal Mamat ketika mengumumkan calon-calon yang bertanding berkata hanya dua calon yang menghantar borang pencalonan.
Calon BN, Hamdan Hamzah menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.18 pagi manakala calon Pas, Mohd Yusop Majid menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.09 pagi.
Tiada calon yang ditolak borang pencalonan dan gelanggang kempen PRN bagi DUN Permaisuri bermula dengan rasminya. – UMNO Online