PRN: Ahmad Zahid Harap Jentera BN-PH Bekerjasama Menangkan Calon
PASIR MAS, 29 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap agar para jentera Barisan Nasional (BN) – Pakatan Harapan (PH) bekerjasama untuk memenangkan calon-calon Kerajaan Perpaduan yang bertanding sempena Pilihan Raya Negeri (PRN).
Jelasnya, Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat telah berusaha sebaiknya untuk mentadbir negara dan kerajaan negeri yang bakal dibentuk mestilah selari bagi membela nasib rakyat.
“Alhamdulilah, walaupun sembilan bulan lalu biru (BN) susah nak bertemu dengan merah (PH), Allah takdirkan pada hari ini kita bersama dalam satu kumpulan.
“Ini merupakan satu petanda baik. Kalau Allah takdirkan kemenangan kepada kita, bukan sahaja Pasir Mas ini, tetapi kita bawa gelombang biru-merah di seluruh Kelantan.
“Kita tahu Kerajaan Perpaduan telah melaksanakan pentadbiran terbaik di peringkat nasional. Kita mahu dalam PRN ini, kerajaan negeri mesti selari dengan Putrajaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Hari Penamaan Calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tendong, Pengkalan Pasir dan Meranti di sini, sebentar tadi.
Menurutnya, nasib rakyat Kelantan yang menderita selama 33 tahun perlulah dibela sebaiknya.
“…yang kita bela ialah rakyat Kelantan yang menderita selama 33 tahun. Untuk itu, saya amat menghargai segala usaha panglima perang kita iaitu Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub.
“Saya harap semua jentera BN-PH dapat tolong antara satu sama lain sepanjang PRN ini. Kalau semangat ini dapat kita perkukuhkan, insya-Allah kita akan ambil alih Kerajaan Kelantan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengharapkan agar BN-PH menang semua kerusi ditandingi.
“Mudah-mudahan kemenangan berpihak kepada kita dengan syarat kita bekerja keras. Tahniah untuk calon-calon kita yang dipilih mewakili parti kali ini.
“Tahniah juga kepada para jentera dan penyokong kawasan ini. Semoga kita dapat ‘Ubah Kelantan’,” katanya lagi.
Terdahulu, Ahmad Zahid tiba di Masjid Mukim Hutan Chengal bagi mengiringi calon BN DUN Tendong, Noor Hariri Mohamed Nor dan DUM Meranti, Zahari Omar serta calon PH bagi DUN Pengkalan Pasir, Rushdan Mustafa.
Para jentera BN-PH berkumpul seawal jam 7.00 pagi bagi mengiringi calon-calon Kerajaan Perpaduan ke Pusat Penamaan Calon yang bertempat di Kolej Vokasional Pasir Mas. – UMNO Online