PRN: Jangan Jadikan ‘Bossku’ Untuk Tarik Perhatian, Sokong Penuh Kepimpinan UMNO – Sharif Musa

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul mengecam mana-mana pihak yang sengaja menggunakan ‘Bossku’ bagi menarik perhatian termasuklah mendapatkan undi simpati sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Beliau berkata demikian susulan Presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz yang dipetik berkata penyokong ‘Bossku’ mengesahkan akan memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) pada PRN ini dan telah hilang kepercayaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Bidas Sharif Musa, siapa sebenarnya Syed Muhammad Imran ini yang mengaku sebagai penyokong Datuk Seri Najib Razak?

“Jangan jadikan nama ‘Bossku’ Najib sebagai menarik perhatian untuk kepentingan sendiri?

“Adakah surat bertulis ‘Bossku’ mengaku Syed Muhammad sebagai penyokong ‘Bossku’ Najib dan memberi arahan untuk membuat kenyataan seperti ini?

“Kami sebagai Ketua UMNO Bahagian sebenarnya adalah penyokong tegar ‘Bossku’ Najib, tidak pernah ‘Bossku’ memberi arahan untuk membuat kenyataan seperti ini. Malah, ‘Bossku’ memberi arahan untuk membantu Kerajaan Perpaduan dalam menghadapi 6 PRN,” katanya dalam hantaran melalui laman Facebooknya, hari ini.

Tegasnya, jika hendak berkempen, gunalah cara objektif, misi dan visi untuk kepentingan rakyat dan negara, bukan cara memetik nama Bossku Najib untuk mencari undi simpati.

“Sebagai Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, kami adalah penyokong ‘Bossku’ Najib, dan menyokong penuh kepimpinan YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO Malaysia,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijalankan serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian.

Tarikh penamaan calon di keenam-enam negeri berkenaan ditetapkan pada 29 Julai, manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

Sebelum ini Kelantan terlebih dahulu membubarkan DUN iaitu pada 22 Jun lepas, diikuti Selangor 23 Jun manakala Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu masing-masing pada 28 Jun dan Negeri Sembilan pada 1 Julai. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.