Gabungan PH, BN Lancar Manifesto Perpaduan Negeri Kedah

SUNGAI PETANI, 28 Julai – Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Kedah malam ini melancarkan manifesto gabungan itu yang mengandungi empat teras utama sebagai tawaran kepada rakyat Kedah sekiranya berjaya merampas negeri ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Empat teras itu adalah reformasi politik dan urus tadbir yang telus; pembangunan dan pengurusan ekonomi yang progresif; pembangunan sosial yang harmoni; serta pengurusan sumber hasil yang mampan.

Pengerusi Bersama Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata manifesto yang ditawarkan itu adalah hasil himpunan pemikiran bersama pimpinan BN dan PH bertujuan memastikan masa depan lebih baik untuk rakyat negeri ini.

Dalam ucapannya, Mahdzir yang juga Pengerusi BN Kedah turut mengingatkan para pengundi terutama golongan pengundi muda untuk memilih secara rasional dan bukannya berasaskan emosi yang didorong fitnah dan dijadikan modal pihak tertentu.

“Maknanya (jadi kerajaan) kita kena kreatif barulah boleh jaga golongan belia. Bagi kami jadi kerajaan, kami tahu apa nak buat,” katanya pada Majlis Pengumuman dan Pengenalan Calon serta Pelancaran Manifesto Perpaduan Negeri Kedah, di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Setiausaha Sekretariat Perpaduan Nasional Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi PH Kedah Datuk Mahfuz Omar.

PRN di enam negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Kedah akan diadakan 12 Ogos ini, manakala penamaan calon pada Sabtu ini.

Di bawah teras reformasi politik dan urus tadbir yang telus, antara lain gabungan itu mahu menyusun semula dan memperkemaskan agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) agar lebih kompeten dan berdaya-saing serta memberi pulangan kepada kerajaan negeri.

Gabungan itu juga mahu pengisytiharan harta Menteri Besar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilakukan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap dua tahun.

Di bawah teras pembangunan dan pengurusan ekonomi yang progresif, antara perkara yang ditawarkan adalah mewujudkan Tabung Bantuan Bencana Petani, Penternak dan Nelayan secara lebih khusus bagi meringankan beban kerugian akibat bencana.

Menerusi teras pembangunan sosial yang harmoni pula, gabungan itu akan bekerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan dalam mencari kaedah penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah pembekalan air bersih di seluruh Negeri Kedah dengan lebih efektif.

Bagi teras pengurusan sumber hasil yang mampan pula, antara perkara yang digariskan ialah memastikan sifar pencerobohan hutan simpan kekal ke arah menjadikan Kedah, Negeri Lestari Pertama di Malaysia.

Gabungan itu juga mahu menoktahkan pembalakan dan perlombongan haram bagi memastikan aset dan sumber bumi negeri sentiasa terpelihara dan mengelak daripada terus berlakunya banjir kepala air, pencemaran sungai dan malapetaka yang akan mengancam nyawa rakyat. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.