PRN: Bawa Konsep Perpaduan Madani, Mohd Zaidy Tekad Menangi DUN Jeram Padang

JEMPOL, 28 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir bertekad untuk menerapkan konsep Perpaduan Madani di kawasan ditandingi.

Beliau yang ditemui UMNO Online turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti kerana telah memberikan peluang mewakili BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

“Saya rasa terharu terutama sekali kepada Presiden dan Timbalan Presiden yang telah memberi ruang kepada saya untuk diangkat sebagai calon DUN Jeram Padang pada PRN Negeri Sembilan kali ini.

“Jadi, saya nak ucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan kerana memberikan saya kepercayaan untuk bertanding di kerusi ini. Insya-Allah saya bertekad akan memastikan kerusi DUN Jeram Padang ini akan dimenangi oleh Barisan Nasional (BN).

“Insya-Allah, sekiranya DUN ini menang dapatlah kita membentuk Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan selari dengan pusat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga mantan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan beranggapan bahawa rakyat di negeri-negeri PRN sudah semestinya mahukan pemimpin yang boleh memberi khidmat terbaik.

“Rata-rata saya nampak dalam keadaan bersedia dan maklum akan berlaku PRN Negeri Sembilan kali ini. Saya nampak para pengundi di Jeram Padang ini mestilah mahukan pemimpin yang boleh bekerja dan berkhidmat untuk rakyat.

“Di DUN Jeram Padang ini saya nampak pelbagai kaum terutamanya Melayu, India dan Cina. Maka saya harap konsep Kerajaan Madani pada hari ini dapat saya serapkan di DUN Jeram Padang untuk sama-sama kita meraikan kepelbagaian kaum di tersebut.

“Saya harap semua berada dalam harmoni di dalam kita mencapai kestabilan dan kemakmuran pada PRN ini Insya-Allah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati rakyat agar tidak terpengaruh dengan sentimen dan tipu helah yang dimainkan oleh pihak lain dalam memastikan kemakmuran negara sentiasa dijaga.

“Kepada pengundi Jeram Padang, ini kali kita perlu buat yang terbaik untuk memastikan kestabilan dan kemakmuran negeri kita. Jangan kita berfikir panjang dan terpedaya dengan tipu helah daripada pihak-pihak lain.

“Fokus kita pada hari ini untuk menstabil dan memakmurkan negara terutamanya kepada anak-anak muda. Kita mahu memastikan ekonomi negeri mahupun negara kita terus maju ke hadapan untuk kemakmuran sejagat kita,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu dilaksanakan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian.

Manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 29 Julai ini dan 8 Ogos. – UMNO Online

<iframe src=”https://www.facebook.com/plugins/post.php?href=https%3A%2F%2Fwww.facebook.com%2Fzaidy.porsche%2Fposts%2Fpfbid0229GGUjSJFFF23SJS9RZCPxyUeyHXWYSHEiYpv8KKgWNX1Besgf5YGkhTkoAriozVl&show_text=true&width=500″ width=”500″ height=”771″ style=”border:none;overflow:hidden” scrolling=”no” frameborder=”0″ allowfullscreen=”true” allow=”autoplay; clipboard-write; encrypted-media; picture-in-picture; web-share”></iframe>

 

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.