PRN: Prestasi Pembangunan Tiga Buah Negeri Jadi Penanda Aras Keupayaan Pentadbiran BN-PH
KUALA LUMPUR, 27 Julai – Prestasi pembangunan ekonomi Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang di bawah Kerajaan Perpaduan menjadi penanda aras keupayaan Barisan Nasional (BN) – Pakatan Harapan (PH) mengurus tadbir negeri dengan tatakelola yang baik.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, beliau percaya rakyat telah mencapai tahap kematangan untuk memilih pemimpin berkualiti.
“Dengan perjalanan politik di Malaysia, saya percaya rakyat telah mencapai tahap kematangan untuk memilih pemimpin yang berupaya menawarkan kesejahteraan hidup dan menjamin kebajikan rakyat.
“Prestasi pembangunan ekonomi dari Negeri Sembilan, ke Selangor dan Pulau Pinang sebagai tiga buah negeri Kerajaan Perpaduan menjadi penanda aras keupayaan BN-PH mengurus tadbir negeri dengan tatakelola yang baik,” katanya menerusi satu sidang media yang diadakan di Menara Dato’ Onn, sebentar tadi.
Jelasnya, sayap Pemuda UMNO Malaysia ingin berkongsikan kemakmuran yang dinikmati oleh rakyat tiga negeri ini bersama Kedah, Terengganu dan Kelantan dengan menawarkan pimpinan negeri yang berkredibiliti.
“Justeru, sayap Pemuda UMNO Malaysia ingin berkongsikan segala limpahan ekonomi dan kemakmuran yang dinikmati oleh rakyat di ketiga-tiga buah negeri ini bersama-sama negeri-negeri lain.
“… di Kedah, Terengganu dan Kelantan dengan menawarkan pimpinan negeri yang berkredibiliti agar diberikan penuh kepercayaan untuk memberikan khidmat terbaik kepada seluruh rakyat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Muhamad Akmal turut memaklumkan bahawa akan diadakan pelancaran Program Geng Perpaduan (GP) pada 30 Julai kelak dan menjemput orang ramai untuk hadir bersama bagi memeriahkan acara.
“Terakhir sekali bersempena dengan PRN pertama BN bergerak sebagai Kerajaan Perpaduan bersama-sama dengan PH, saya berbesar hati mengumumkan pelancaran Program Geng Perpaduan (GP) pada 30 Julai 2023 (Ahad) ini.
“Program ini akan diadakan pada jam 8.00 malam di Strand Mall, Kota Damansara, Selangor. Orang ramai dijemput hadir mendengar pengisian dan aspirasi pemimpin muda untuk seluruh rakyat,” katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu dilaksanakan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian.
Manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 29 Julai ini dan 8 Ogos. – UMNO Online