PRN Kedah: BN/PH Lancar Manifesto Khamis Ini

ALOR SETAR, 25 Julai – Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Kedah akan melancarkan manifesto mereka pada Khamis ini sebagai tawaran kepada rakyat negeri ini sekiranya mereka dipilih bagi membentuk kerajaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, manifesto yang menyantuni semua golongan termasuk nelayan, pesawah, penoreh getah, perindustrian, pelancongan, belia serta wanita itu diyakini mampu membawa kestabilan dan kesejahteraan rakyat.

“Ada banyak perkara yang akan dibentangkan dalam manifesto itu. Manifesto tersebut akan menyentuh mengenai perkara-perkara yang mampu memberi kebaikan kepada rakyat secara menyeluruh kerana kerajaan negeri ketika ini bukan saja gagal, malah tak buat apa-apa pun.

“Apa yang beliau (Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor) buat selain mengata orang lain? Kalau nak jadi pemimpin, anda kena serius kerana antara kepimpinan negeri dengan rakyat, di tengah-tengahnya ada pegawai kerajaan yang bertanggungjawab melaksanakan program demi pembangunan negeri.

“Tetapi kalau anda tak serius selain tidak memiliki inovasi serta kreativiti, apa yang pegawai kerajaan nak laksanakan? Sebab itu ketika ini, tak ada apa yang rakyat dapat walaupun sudah tiga tahun mereka memerintah.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kepimpinan Perpaduan Negeri Kedah di Pejabat UMNO, Bangunan Tunku di sini, hari ini.

Majlis pelancaran manifesto itu katanya, akan diadakan di tapak letak kereta, Bandar Laguna Merbok bermula jam 9 malam.

Tambah Mahdzir, pada majlis itu setiap calon BN dan PH akan berada di pentas yang sama untuk diperkenalkan kepada umum.

“Ketika ini segalanya berjalan lancar buat kami. Kami juga bersetuju untuk melaksanakan jelajah kepimpinan sepanjang tempoh berkempen dan satu jawatankuasa melibatkan kedua-dua gabungan akan ditubuhkan untuk menyelaras siri jelajah tersebut.

“Jawatankuasa itu akan menyelaras kedatangan pemimpin-pemimpin Pusat ke Kedah dan menentukan lokasi terbaik untuk mereka berkempen. Maklumat lanjut mengenai perkara itu akan kita umumkan dari semasa ke semasa,” katanya. – UMNO ONLINE

Kenali calon-calon Barisan Nasional di dalam Pilihan Raya Negeri Kedah:
π‚πšπ₯𝐨𝐧 𝐁𝐚𝐫𝐒𝐬𝐚𝐧 𝐍𝐚𝐬𝐒𝐨𝐧𝐚π₯ 𝐏𝐒π₯𝐒𝐑𝐚𝐧 π‘πšπ²πš 𝐍𝐞𝐠𝐞𝐫𝐒 𝐊𝐞-πŸπŸ“ : ππ„π†π„π‘πˆ πŠπ„πƒπ€π‡


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit