Prasarana Pendidikan, Pembangunan Ekonomi Rakyat Fokus MK Di Jeneri

KUALA LUMPUR, 26 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim menggariskan beberapa wawasan sekiranya diberikan mandat oleh masyarakat di kawasan itu.

Katanya, pembangunan pendidikan dan ekonomi serta perumahan mampu milik yang telah lama dirancang bagi memenuhi keinginan rakyat akan menjadi kenyataan sekiranya BN/Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan negeri.

“Kita akan menjadikan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab yang telah dirancang sekian lama sebagai kenyataan kepada masyarakat Jeneri dan Sik amnya menjelang akhir tahun ini serta merancang perumahan mampu milik generasi muda.

“Seandainya diberikan peluang, saya akan merealisasikan impian masyarakat Jeneri iaitu merancang satu pusat pembangunan ekonomi yang lebih tersusun di Pekan Batu Lima supaya ada bank untuk depa (mereka) pi (pergi) simpan dan mengeluarkan duit dan dijadikan pusat baharu selain dari pekan Sik.

“Kita akan mengembalikan bangunan Tabung Haji serta pejabatnya dalam daerah Sik untuk kemudahan masyarakat berurusan kerana haji pada umat Islam adalah istimewa,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Jelas Muhamad Khizri yang mesra dengan panggilan MK, rakyat perlu memberi peluang kepada BN/PH untuk menyelesaikan segala permasalahan yang ditanggung oleh mereka.

“Seandainya kerajaan negeri ini tidak diambil alih oleh BN/PH ianya tak akan seiring dengan kerajaan Persekutuan dan menyusahkan rakyat. Sekiranya kerajaan negeri sama dengan Persekutuan maka mudahlah menyelesaikan segala permasalahan yang besar terutamanya masalah ayaq (air), kemiskinan, peruntukan pada petani, nelayan dan pekebun kecil.

“Sekiranya ada ‘kasih sayang’ pada negeri ini untuk melihat pembangunan dan tidak mahu lihat negeri ini mundur maka seharusnya memilih BN/PH di bawah Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.

Seterusnya Ketua UMNO Bahagian Sik itu turut mengharapkan kepada calon-calon yang bertanding pada PRN kali ini untuk berkempen dengan bijaksana dan jangan menabur fitnah serta cacian.

“Berkempenlah dengan penuh hikmah, jangan ada fitnah, caci maki dan jangan cerita benda yang buruk. Kita cerita apa yang boleh dan mampu buat kepada rakyat dan jangan bercerita tentang soal dongeng.

“Ada wakil rakyat di DUN Jeneri tetapi dok (selalu) berjalan merata tempat, kata orang tu kata kat orang ni ‘last’ sekali kena ambil tindakan mahkamah tapi rakyat di Jeneri kemiskinan dan masalah ayaq tak selesai-selesai sampai hari ini menjadi bualan dan merasa meluat nak tengok pemimpin macam itu,” tegasnya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu dilaksanakan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian.

Manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 29 Julai ini dan 8 Ogos. – UMNO Online

Jom ikuti media sosial calon Barisan Nasional bagi DUN Jeneri ini:

Facebook: Dato’ Muhamad Khizri Bin Abu Kassim

TikTok: DMKSik

 

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.