PRN: BN Tanding 108 Kerusi DUN Di Enam Negeri
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada majlis pengumuman calon BN malam ini berkata 63 peratus calon merupakan muka baharu, 18 peratus ialah penyandang dan selebihnya ialah mereka yang pernah bertanding sebelum ini.
“Kita juga mengemukakan 87 peratus daripada calon ini memiliki kelayakan akademik di peringkat pengajian tinggi termasuk yang berkelulusan ikhtisas atau profesional,” katanya.
Pengumuman malam ini menyaksikan BN menampilkan calon daripada UMNO berikutan parti komponennya MIC dan MCA mengambil keputusan untuk tidak bertanding pada 12 Ogos ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan pada 12 Ogos, penamaan calon pada 29 Julai manakala pengundian awal pada 8 Ogos.
PRN 2023 ini melibatkan 36 DUN di Kedah; Kelantan (45); Terengganu (32); Pulau Pinang (40); Selangor (56); dan Negeri Sembilan (36). – BERNAMA