PRN: Zawawi Seru Rakyat Kelantan Undi Calon Kerajaan Perpaduan, Ubah Nasib Negeri Ke Arah Lebih Baik
PASIR PUTEH, 21 Julai – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Zawawi Othman menyeru rakyat Kelantan supaya mengundi calon-calon daripada parti Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini untuk mengubah nasib negeri tersebut ke arah lebih baik.
Jelasnya, beliau yakin bahawa pengundi Kelantan yang berada di luar negeri sudah berubah dan mahukan perubahan.
“Saya rasa kali ini pengundi luar sudah berubah. Ada segelintirnya nak melihat kerajaan Kelantan ini mempunyai semak dan imbang. Ada juga daripada mereka apabila balik ke Kelantan mereka lihat tidak ada air, masalah lalu lintas dan juga pengangguran.
“Mereka berada di luar dan mendapat perhatian daripada negeri-negeri di bawah pimpinan Kerajaan Perpaduan. Kalau mereka ini tidak dapat perhatian, maka mereka tidak dapat bekerja di sana dan terpaksa balik ke Kelantan.
“Kalaulah Kelantan tidak mempunyai pekerjaan, maka setiap tahun, bulan dan hari Kelantan akan menghantar rakyatnya keluar daripada negeri. Peluang pekerjaan mereka di Kelantan juga akan terancam,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar rakyat negeri Kelantan yang berada di luar agar turut bersama-sama merasai segala kesusahan dihadapi mereka.
“Saya rasa kali ini pengundi luar akan memikirkan dan sedar tentang kesilapan yang mereka lakukan. Kali ini saya harap para penyokong Pas, undilah Kerajaan Perpaduan untuk mengubah nasib hidup keluarga, waima kita sendiri untuk menabur bakti kepada negeri.
“Daripada 33 tahun itu kita dapat lihat bagaimana kerajaan Pas telah menggadaikan tapak-tapak tanah yang luas kepada orang-orang luar. Tetapi hasil untuk orang Kelantan tidak ada. Kalau ada pun mungkin kepada pemimpin Pas ataupun tauke-tauke besar.
“Harapan saya, rakyat Kelantan yang berada di luar bersama-samalah merasai pahit jerihnya hidup tanpa air yang bersih, peluang pekerjaan tertutup dan tidak ada usaha untuk mengembangkan anak-anak muda kepada satu tahap lebih baik,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Zawawi turut memaklumkan tawaran manifesto untuk rakyat Kelantan yang dipercayai mampu memanfaatkan lebih 10,000 rakyat.
“Saya ingin menyatakan satu manifesto paling besar untuk rakyat Kelantan iaitu mengadakan peluang pekerjaan kepada anak-anak Kelantan yang masih berada di negeri ini dan baru menamatkan pengajian.
“Sekiranya kita membentuk kerajaan di Kelantan, kita akan bangunkan di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Industri Kecil Sederhana (IKS) tempatan dan Insya-Allah sekiranya berjaya hampir 10,000 peluang pekerjaan dan 1,000 peluang keusahawanan akan berjaya dicipta di Pasir Puteh sahaja.
“Kita mahu rakyat Kelantan menabur bakti di negeri sendiri dan berada di sisi ibu bapa yang sudah uzur. Kita dapat melihat kehidupan ibu bapa bukan seperti sekarang ini anak berada di Kuala Lumpur, ibu yang uzur berada di Kelantan. Tidak ada kasih sayang daripada anak secara fizikal. Hanya hantar duit dan sebagainya. Itu tidak cukup. Ibu bapa memerlukan kasih sayang dan belaian daripada anak mereka,” katanya lagi.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan secara rasminya telah dibubarkan pada 22 Jun lalu bagi memberikan laluan kepada PRN yang bakal berlangsung pada Ogos ini.
Kedudukan terkini bagi kerusi DUN Kelantan adalah PN dengan 38 kerusi dan Barisan Nasional (BN) tujuh kerusi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di enam negeri diadakan serentak dengan 12 Ogos ini sebagai hari pengundian manakala 29 Julai sebagai hari penamaan calon manakala hari pengundian awal ialah pada 8 Ogos ini. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman