Manfaatkan Sepenuhnya Media Sosial, Dedah Kegagalan Kerajaan Negeri Kedah – Aizat
MERBOK, 25 Julai – Jentera Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Negeri Kedah akan memanfaatkan sepenuhnya platform media sosial bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) khususnya di Kedah.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Muhamad Nur Aizat Noor Azam berkata pihaknya bersedia menangkis serangan dan juga mendedahkan kegagalan kerajaan Pas/Perikatan Nasional (PN) dalam mentadbir negeri serta memastikan ia memberi impak positif kepada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata, platform media sosial termasuk Facebook, Twitter, Instagram dan TikTok kini dianggap sebagai ‘peluru ghaib’ yang mampu mempengaruhi pandangan terhadap sesuatu isu, termasuk kepada sebuah parti politik.
“Sekarang ini di media sosial telah didominasi oleh pihak lawan dan itu harus diakui tetapi dalam masa peperangan PRN ini adalah satu cabaran yang cukup besar terutamanya jentera Pergerakan Pemuda bersama Puteri UMNO Negeri Kedah untuk mencari kaedah mencungkil perkara-perkara yang anak muda perlu tahu tentang apa yang kerajaan negeri gagal buat.
“Apa misi dan visi kerajaan negeri sehingga sekarang rakyat tidak dapat lihat. Isu anak muda tidak dapat peluang perkerjaan, anak muda terpaksa keluar dari negeri ini selain daripada isu-isu asas yang kerajaan negeri tidak dapat menyelesaikannya.
“Pengundi akan melihat bagaimana calon-calon yang bertanding pada PRN. Bagaimana jentera parti menghimpunkan kempen mereka dari media sosial dan peperangan kali ini terutamanya di media sosial iaitu bukan lagi di lapangan,” katanya kepada UMNO Online di sini.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Merbok menjelaskan pada pilihan raya lalu telah membuktikan bahawa kesan media sosial mempengaruhi pengundi terutamanya anak muda dalam memberi undi pada mereka.
“Pihaklawan tentunya akan menggunakan pelbagai cara dan maklumat sama ada media konvensional atau media alternatif untuk memburukkan Kerajaan Perpaduan pada hari ini bagi meraih undi dan merealisasikan matlamat mereka mengekalkan negeri.
“Ini merupakan satu cabaran kepada kita kerana para pengundi sangat terpengaruh dengan maklumat-maklumat dalam media sosial,” ujarnya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos ini sebagai hari mengundi bagi PRN Selangor, Negeri sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Selain itu, Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu turut diadakan serentak pada hari berkenaan.Hari penamaan calon adalah pada 29 Julai dan hari mengundi awal pada 8 Ogos ini. – UMNO Online