Kerajaan Negeri Kedah ‘Lencongkan’ Kegagalan Mentadbir, Bangkit Isu 3R
KUALA LUMPUR, 14 Julai – Kerajaan Negeri Kedah yang dipimpin oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilihat cuba untuk ‘melencongkan’ segala kegagalan mereka mentadbir negeri itu dengan membangkitkan sentimen 3R iaitu kaum (race), agama (religion) dan raja (royalty).
Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, tiada apa-apa penambahbaikan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Kedah sepanjang ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN).
“Dekat Kedah isu yang ada hari ini adalah sejauh mana keberkesanan kerajaan yang ada. Saya kira tidak ada apa-apa penambahbaikan yang dibuat oleh kerajaan negeri bawah pimpinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
“Apa yang dilakukan, mereka cuba divert segala kegagalan dengan menyalahkan pihak lain sedangkan sebahagian besarnya memerlukan kerjasama dan juga peranan kerajaan negeri itu sendiri,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah itu turut menganggap bahawa semangat ‘Bangsa Kedah Baharu’ yang dibangkitkan oleh Muhammad Sanusi pada program Kedah berselawat sebelum ini tidak sepatutnya berlaku.
“Akibat dari segala kegagalan tersebut, mereka mula bermain sentimen 3R iaitu ‘race, religion dan royal’ ini sebagai senjata utama. Mereka ‘menggula-gulakan’ rakyat dengan membangkitkan semangat yang tidak sepatutnya.
“Kalau kita lihat baru-baru ini sebelum berlakunya pembubaran kerajaan negeri, Sanusi telah berada di stadium (untuk majlis Himpunan Kedah Berselawat) dan membangkitkan semangat kononnya ‘Bangsa Kedah Baharu’ dengan membandingkan negara jiran sebagai Constantinople dan rakyat negeri Kedah sebagai tenteranya.
“Saya kira itu satu metafora yang tidak sepatutnya digunakan dan boleh disalah erti serta tafsirkan,” katanya lagi.
Kedah antara salah satu negeri yang akan berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos ini selain Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah bagi penggal ke-14 secara rasminya dibubarkan pada 28 Jun lalu selaras dengan perkenan Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada Ahad lalu.
Pembubaran itu sekali gus menamatkan pentadbiran tiga tahun kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mengambil alih kerajaan negeri daripada Pakatan Harapan (PH) pada 17 Mei 2020.
Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang menyaksikan PH mengambil alih kerajaan negeri dengan kemenangan 18 daripada 36 kerusi, persidangan pertama DUN Kedah bagi penggal ke-14 berlangsung pada 3 Julai 2018.
Negeri ini mempunyai 36 kerusi dengan kedudukan terkini DUN Kedah menyaksikan PN memiliki 20 kerusi (Pas-14, PPBM-6); PH menguasai 10 kerusi (PKR-5, PAN-3, Dap-2); Barisan Nasional (BN) memperoleh dua kerusi dan Parti PEJUANG (2).
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman