Jadikan PRU15 Iktibar, Pasca PAU 2023 ‘Starting Point’ Menjelang PRN – Sharifah Azizah
KUALA LUMPUR, 16 Jun – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 telah berlangsung dengan jayanya minggu lalu yang julung kali diaplikasi selepas pemilihan UMNO dengan melibatkan perbahasan hala tuju parti.
Dalam hal ini, Exco Wanita UMNO, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain menganggap bahawa pasca PAU 2023 adalah ‘starting point’ bagi terus bergerak dan bekerja lebih kuat serta memastikan UMNO terus kekal relevan.
“Sesungguhnya, UMNO inilah harapan rakyat dan akan tetap menjadi tempat bergantung, mengadu nasib, merintih dan meminta pertolongan dari dulu, kini dan insya-Allah selamanya.
“Kerana itu marilah kita terus bersatu, bersetia dan berkhidmat dengan azam sepakat untuk kemenangan mendepani apa juga cabaran masa depan termasuklah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota menegaskan PRU15 lalu sewajarnya dijadikan iktibar.
“PRU15 lalu menyaksikan perubahan sekelip mata selepas kita tersenyum lebar akibat kemenangan besar dalam PRN Melaka dan PRN Johor sebelumnya.
“BN menang lebih 2/3 dalam PRN Melaka dan Johor. Kita merasakan gelombang telah begitu kuat, angin perubahan begitu kencang untuk memberi dukungan kepada calon-calon BN. Sangkakan kita akan berterusan menang dalam PRU15.
“Tapi malangnya… barangkali juga akibat daripada kealpaan kita juga, mungkin takbur, riak, ego… meninggi diri dan ada yang mendabik dada dalam pencalonan lalu Allah SWT tarik semula kenikmatan yang diberi lantas kita semua mendapat natijah.”
Lantaran itu katanya, ketepikanlah iri hati, buang hasad dengki tanpa ada agenda peribadi yang hanya akan meracun diri, kerana matlamat bangsa perlu dipenuhi dengan tekad pilihan raya akan dimenangi.
“Sememangnya diakui bahawa UMNO hari ini sedang mengharungi badai lautan rakyat yang sukar diramal, arus kemodenan, kebijakan pemikiran rakyat, dan norma baharu informasi di hujung jari dunia tanpa sempadan.
“Tugas ini bukanlah tanggungjawab individu tetapi ia adalah amanah kita secara kolektif. Sebagai parti siasah orang Melayu, UMNO berperanan besar memastikan syiar Islam dilaksana dan dihayati mengikut al-Quran dan as-Sunnah.
“UMNO adalah parti bangsa Melayu yang mendukung perjuangan agama, bangsa dan negara. Sudah pastinya agama Islam sentiasa diutamakan dalam apa jua keadaan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan bahawa Islam adalah agama Persekutuan,” katanya lagi. – UMNO Online