Muafakat Keluarga Besar UMNO Dicemburui Oleh Musuh – Mazalan
KUALA LUMPUR, 15 Jun – Pembahas mewakili Negeri Sembilan, Mazalan Maarop berharap ahli parti untuk bertanggungjawab secara bersama dalam mempertahan parti keramat ini.
Katanya, ianya sangat penting untuk dilakukan apatah lagi parti lawan yang pada ketika ini cemburu dengan ukhuwah kekeluargaan dimiliki UMNO.
“Muafakat kita sebagai sebuah keluarga besar ini yang sebenarnya dicemburui oleh musuh-musuh kita. Kita perlu memasuki pilihan raya dalam keadaan keluarga besar kita ini betul-betul kukuh dan utuh.
“Sebab itu kita boleh lihat, macam-macam cara yang dibuat oleh musuh kita untuk memecahkan benteng kekeluargaan yang kita pertahan selama ini.
“Apa juga yang berlaku, saya nak ingatkan semua perwakilan yang ada di dalam Dewan Keramat kita pada hari ini dan semua ahli UMNO di luar sana, kita semua ada tanggungjawab yang sama untuk pertahankan keluarga besar kita ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi perbahasan Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini yang berakhir Sabtu.
Mengulas lanjut, Mazalan yang juga Ketua UMNO Bahagian Seremban turut mengulas berkenaan kerjasama UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.
Beliau malah mengakui bahawa bukan semua orang boleh menerima dengan hati terbuka kerjasama tersebut.
Bagaimanapun katanya, perbezaan pandangan itu bukan bermaksud perpecahan atau punya krisis dalaman sebaliknya masing-masing mempunyai pemikiran berbeza dan mahukan yang terbaik untuk parti keramat ini.
“Berpuluh tahun UMNO berdiri atas kaki sendiri dan berjaya meraih kepercayaan dari rakyat. Kita terpaksa akui situasi UMNO pada hari ini memerlukan sedikit kerja keras untuk mendapatkan semula kepercayaan dan mandat dari rakyat itu.
“Situasi yang sama juga berlaku sewaktu kita menjalinkan hubungan di dalam Muafakat Nasional. Ada yang boleh terima, ada yang tidak boleh terima.
“Tapi pokok pangkalnya, sebagai seorang ahli parti, kita perlu sentiasa terbuka dengan keputusan yang dibuat oleh parti. Pucuk pimpinan parti sudah semestinya melakukan pertimbangan yang sewaras-warasnya dan mengambil kira pelbagai faktor,” ujar beliau.
Berbalik kepada PRN, Mazalan mengajak ahli parti berlapang dada dengan realiti politik masa kini yang menuntut perubahan dan kesefahaman.
“Menjelang pilihan raya di enam negeri ini, kita secara rasminya bakal bekerjasama dengan Pakatan Harapan di kesemua negeri ini. Penerimaan terhadap situasi ini berbeza-beza mengikut tempat masing-masing.
“Jika diikutkan hati, UMNO pasti mahu bertanding di semua kerusi tradisi kita selama ini. Tapi kita harus berpijak di bumi yang nyata, kita harus sedar dengan realiti politik masa kini,” katanya. – UMNO Online