Pemuda UMNO Tetap Perjuang Hak Melayu/Bumiputera, Jadi Benteng Hadapan Pertahan Agama


KUALA LUMPUR, 10 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO mengulangi tekad dan ikrar mereka dengan tidak berganjak menggadaikan prinsip-prinsip perjuangan mereka.

Wakil Pemuda UMNO Mohd Kurniawan Naim Moktar berkata Pemuda akan terus memperjuangkan hak bangsa Melayu/Bumiputera serta menjadi benteng hadapan mempertahankan agama.

“Di bawah kepimpinan ketua Dr Akmal (Dr Muhamad Akmal Saleh), Pemuda tidak akan sekali berganjak menggadaikan prinsip perjuangan Pemuda. Terus berani memperjuangkan hak Melayu dan Bumiputera.

“Berani menjadi benteng hadapan mempertahankan agama Islam tanpa mendiskriminasi agama-agama lain. Berani menyuarakan suara akar umbi meskipun bertentangan dengan parti gabungan lain. Itulah janji dan ikrar Pemuda,” tegasnya ketika sesi perbahasan di Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.

Tambah Bendahari Pemuda UMNO Malaysia itu lagi, ramai masih sayangkan UMNO namun mereka mahu melihat perubahan dalam parti.

“…dan Pemuda bertekad membawa perubahan yang diinginkan oleh rakyat. Pemuda bertekad akan terus memperjuangkan suara akar umbi meskipun dilabel parti di dalam parti. Kami bukan mahu melawan jauh sekali menderhaka, kami cuma akan berkata apa yang benar walaupun pahit,” katanya.

Berhubung ucapan dasar Presiden yang banyak menyentuh perihal golongan muda, Naim berkata Pemuda meletakkan harapan yang tinggi kepada pemimpin UMNO yang berada di dalam barisan kabinet.

“Pemuda meletakkan harapan yang begitu tinggi kepada menteri dan timbalan Menteri UMNO untuk menyelesaikan masalah rakyat kerana survival parti ini bergantung dengan gerak kerja pemimpin UMNO di dalam kerajaan yang mentadbir negara.

“Yang Amat Berhormat Presiden belalah pengundi tegar di luar bandar yang kebanyakannya terus setia kekal kepada UMNO. Yang Berhormat Naib Presiden Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin belalah untung nasib rakan-rakan mahasiswa kami. Yang Berhormat Senator Datuk Tengku Zafrul tariklah pelabur dengan segera ke dalam negara kita agar sahabat-sahabat kami mendapat peluang pekerjaan,” serunya.

Seterusnya katanya lagi, Pemuda menyambut baik seruan Timbalan Presiden UMNO agar diadakan Kongres Melayu Maju yang akan diterajui bersama Puteri UMNO.

“Kami mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang telah diberikan. Kami sedia mengumpul para pemikir, cendekiawan, pemimpin untuk bersama menjayakan apa yang dirancang.

“Bukan itu sahaja, suara akar umbi akan diutamakan untuk menjayakan agar rangka tindakan yang diwujudkan akan mampan, moden dan mengikut keperluan masa kini,” ujar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kinabatangan itu.

Dalam ucapannya juga, Naim berkata selain berani mempertahankan prinsip perjuangan, Pemuda juga mengutamakan ketaatan dan kesetiaan.

“Taat dan setia Pemuda ini untuk parti tercinta. Taat dan setia Pemuda ini khusus untuk Institusi Presiden yang kita jaga ini. Taat dan setia Pemuda ini untuk negara yang disayangi yang kita bina selama ini.

“Selagi hayat dikandung badan, Pemuda bertekad menjadi benteng hadapan mempertahankan agama, bangsa dan negara,” katanya. – UMNO ONLINE #NegaraBangsaPAU2023

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.