Veteran UMNO Ingatkan Ahli, Perwakilan Berpadu Di Bawah Cogan Kata ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’
KUALA LUMPUR, 10 Jun – Ketua Penerangan Veteran UMNO Malaysia, Datuk Zainal Abidin Sakom mengingatkan agar ahli dan para perwakilan sentiasa bersatu di bawah cogan kata parti iaitu ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ terutamanya dalam menjalin kerjasama dengan parti-parti membentuk Kerajaan Perpaduan.
Jelasnya, UMNO ialah sebuah parti yang dinamik dari pelbagai aspek namun masih tegas dalam memperjuangkan nasib agama, bangsa dan tanah air.
“UMNO ini sebuah parti yang dinamik iaitu bertenaga, berkekuatan, mampu untuk membuat penyesuaian serta menerbitkan pembaharuan dan perpaduan. Kalau kita lihat dinamiknya UMNO ini, sebelum ini hanya Melayu yang menjadi ahlinya.
“Apabila Sabah menyertai kita, ada kelompok-kelompok daripada bumiputera. Maka apa tindakan kita, kita menerima mereka dan di dalam lagu UMNO itu, kalau dulu kita sebut ‘jiwa teguh berpadu, kita anak Melayu’. Ini lagu lama.
“Setelah mereka menyertai kita, dinamiknya UMNO ini kita ubah supaya jangan ada orang terasa dan kecil hati. Kita ubah lirik kepada ‘jiwa teguh berpadu, kita rumpun Melayu’. Itulah dinamiknya UMNO,” katanya ketika sesi perbahasan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), sebentar tadi.
Menurutnya, UMNO sering berjuang dalam menegak, mempertahankan dan memperjuangkan Islam sebagai perkara paling utama.
“Ada yang mengatakan UMNO ini tidak memperjuangkan Islam, padahal kita telah menggunakan platform parti ini untuk sentiasa menegak, mempertahankan dan memperjuangkan agama. Tiada sesiapa dapat menafikan.
“UMNO juga telah kelihatan dinamik kerana berjaya menafikan apa yang disebutkan oleh pihak lain, maka kita telah meletakkan agama sebagai perkara utama dan nombor satu.
“Apabila UMNO telah membuat keputusan bahawa kita bersetuju dalam Kerajaan Perpaduan atas titah Yang di-Pertuan Agong, maka sepatutnya UMNO menentukan keputusan yang dilakukan itu dapat dizahirkan dengan perbuatan,” katanya lagi.
Selain itu, beliau turut berpesan kepada ahli dan para kepimpinan untuk memperlihatkan kejujuran terutama apabila bekerjasama dengan parti Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Maka, saya nak menyeru para perwakilan dan ahli-ahli UMNO di mana jua mereka berada, dalam kita berkongsi dan bekerjasama UMNO mesti berpadu di atas cogan katanya, ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’.
“Dalam PRN yang akan datang UMNO mesti memperlihatkan kejujuran. Setiap orang UMNO mesti membawa amanah bahawa kita akan memenangkan calon yang dikemukakan oleh Kerajaan Perpaduan. Sekiranya kita tidak melakukannya, kita akan dilihat tidak mematuhi janji kita,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar para perwakilan turun ke akar umbi bagi memberi penjelasan mengenai situasi politik yang dihadapi oleh UMNO pada waktu ini.
“Kita pernah bersama dengan Muafakat Nasional (MN). Disinilah berjuraian air mata dan saya adalah salah seorang daripadanya. Tetapi, takdir Allah bukan begitu. Mereka mengkhianati kita dan mereka tidak bersama dengan kita.
“Kita ingat, kita tidak akan dapat apa-apa. Tetapi, kita berjaya membentuk kerajaan meskipun kita kalah pada PRU ke-15 lalu.
“Sebab itu, Veteran UMNO melihat bahawa kita perlu turun ke bawah memberi penjelasan kepada ahli-ahli UMNO terutamanya. Kalau kita dinamik, mari kita betulkan banyak perkara,” katanya lagi. – UMNO Online