UMNO Bangkit… Ahli Dan Pemimpin Perlu Bermuhasabah, Bawa Iltizam Baharu Parti
KUALA LUMPUR, 10 Jun – Setiap ahli parti dan pemimpin perlu bermuhasabah, mendalami hati masing-masing untuk membawa hala tuju, iltizam serta azam baharu perjuangan UMNO setelah ditolak oleh rakyat dengan dahsyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata, ramai di kalangan ahli parti masih keliru dengan perjuangan dan hala tuju parti terutamanya selepas Kerajaan Perpaduan terbentuk pasca PRU ke-15 dan juga pemilihan lalu.
“Ramai di kalangan kita perasaan bercampur baur, keliru, celaru dan rasa keinsafan terpancar di setiap muka ahli UMNO yang hadir ke mesyuarat ketika pemilihan yang lepas. Rata-rata ucapan penangguhan berkisar hala tuju dan apa nak jadi dengan nasib anak bangsa Melayu dan kesucian agama Islam yang menjadi tunjang perjuangan parti keramat kita selepas apa yang berlaku pasca PRU ke-15.
“Jujur saya lihat di peringkat akar umbi kita masih belum lagi dapat melaraskan pemikiran secara ‘total’ untuk beradaptasi bahawa kita adalah sebahagian dari kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH) walaupun mempunyai 30 orang Ahli Parlimen dari komponen Barisan Nasional (BN).
“…yang paling pelik, kita mempunyai rakan politik yang baharu untuk tempoh penggal kali ini dan kemungkinan besar pada PRU ke-16 kelak. Kita masih bersifat skeptikal dan kekadang mistik, tetapi inilah dinamika politik baharu yang perlu kita terima demi survival parti kita,” katanya ketika sesi perbahasan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), sebentar tadi.
Jelasnya, sokongan rakyat terhadap parti semakin merosot sejak PRU ke-13 lalu dan sesuatu perlu dilakukan sebaiknya untuk memulihkannya semula.
“Kita berada dalam situasi menongkah arus untuk mendapani cabaran politik baharu. Kita tiada pilihan lain, kita hanya ada satu jalan (do or die way), jalan sehala yang tiada pusingan U.
“Sokongan rakyat terhadap parti kita ibarat ‘sokongan air terjun’, bertambah merosot dan merudum sejak PRU ke-13. Kita kena bersama-sama berusaha dan membantu melencongkan air sungai itu agar tidak berterusan terjun ke dasar sungai.
“Kini, dalam setiap diri dan jiwa ahli parti perlu bermuhasabah, mendalami hati masing-masing untuk membawa hala tuju, iltizam dan azam baharu perjuangan parti keramat yang sama kita sayangi,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Gulam Muszaffar turut menegaskan bahawa parti perlu mengubah cara dan langkah politik seiring dengan arus perdana biarpun terpaksa menongkah arus.
“Cara, corak dan langkah politik sudah semestinya jauh berbeza dari sebelum ini. Landskap politik yang baharu menuntut kita berubah seiring dengan arus perdana walaupun terpaksa menongkah arus.
“Kita berada di persimpangan penuh ranjau dan berduri. Intipati perjuangan masih sama tetapi perlu bersifat inklusif, bukan rasis, berintergriti, isu atau dasar berorentasikan rakyat yang sebenarnya adalah salah satu cara untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti UMNO.
“Kita semua kena setia, hanya dengan kesetiaan kita akan kembali kuat,” katanya lagi. – UMNO Online