PRN: Penuhi Kuota 30 Peratus Demi Pastikan Hak Dan Suara Wanita Terbela

KUALA LUMPUR, 13 Jun – Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Pilah, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid berharap agar kuota 30 peratus wanita sebagai calon di Pilihan Raya Negeri (PRN) dipenuhi.

Jelasnya, UMNO/Barisan Nasional (BN) perlulah meletakkan calon wanita di negeri-negeri yang bakal berhadapan dengan PRN bagi memastikan suara wanita seimbang dan hak wanita terbela.

“Para perwakilan Wanita sekalian, tidak lama lagi kita akan menghadapi PRN di enam negeri termasuklah di Negeri Sembilan. Menjadi amalan parti, wanita senantiasa memainkan peranan bersama pimpinan di semua peringkat bagi memenangkan calon-calon kita.

“Apabila kita bercakap tentang wanita diletakkan sebagai calon, ‘we must walk the talk’. Jangan cakap 30 peratus, tapi 10 peratus pun tidak ada kat Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Untuk PRN kali ini, bagi mengimbangi suara dan memastikan hak wanita terbela, UMNO perlu meletakkan calon wanita pada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang boleh dimenangi. Wanita bukan sahaja pelengkap malah wanita sudah ramai berjaya di segala sektor,” katanya pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) pada Khamis.

Menurut beliau, ini adalah masa yang tepat untuk menghentikan segala pertelingkahan dan masa dalaman parti.

“Hentikanlah masalah dalaman parti ini, para pewakilan. Hentikan pertelingkahan. Kini adalah masa untuk kita bergerak bersama-sama bagi mencapai kejayaan parti kita semula.

“Jika jentera dapat menjelaskan isu-isu sensitif yang dimainkan oleh pembangkang kepada ahli parti dan rakyat mengenai Kerajaan Perpaduan, menangkis fitnah dari luar dan dalam adalah lebih baik,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa UMNO tetap menjunjung prinsip perlembagaan dan perjuangan asal bagi mempertahankan Melayu dan Islam tanpa mengenepikan bangsa lain.

“UMNO tetap UMNO, kita bertindak mengikut perlembagaan dan akan terus mempertahankan Melayu serta agama Islam tanpa mengetepikan bangsa lain. Kita UMNO kekal sebagai parti Melayu yang menjadi pengimbang dalam kerajaan.

“Ayuh para perwakilan, mari kita bersama memastikan parti keramat ini terus relevan, digalas oleh penyambung generasi akan datang dan menang pada PRN dengan bergaya. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.