Wakil Pemuda Cadang Rumah ‘Rent To Own’, Jadikan PRU lalu Sebagai Panduan

KUALA LUMPUR, 13 Jun – Wakil Pemuda UMNO Pahang, Mohd Kamil Ibrahim mencadangkan Pemuda UMNO di peringkat pusat menjuarai kehendak anak-anak muda masa kini antara lain pembinaan rumah belia atau anak muda.

Menurut beliau keperluan tersebut sebenarnya adalah yang paling utama selain soal pekerjaan yang harus dititikberatkan oleh kerajaan supaya nasib anak-anak muda di luar sana terbela dan mampu menjalani kehidupan dengan sebaiknya.

“Saya juga akan mencadangkan kepada kerajaan negeri Pahang kaedah yang paling mudah untuk anak muda memiliki rumah di Pahang. Salah satu kaedahnya adalah secara ‘rent to own’. Ini adalah harapan kepada anak-anak muda di seluruh negara amnya untuk memiliki rumah pertama mereka.

“Selain itu kita berharap kerajaan jegeri dan pusat boleh membina rumah transit kepada pasangan-pasangan yang baru berkahwin, sebelum mereka benar-benar bersedia membeli rumah. Antara syarat yang boleh dikenakn mestilah berkahwin dan menetapkn had umur dari 25 ke 35 tahun.

“Selain itu rumah transit ini kita tetapkan tempoh sewaannya, mungkin dua hingga tiga tahun sahaja. Yang dijangka ekonomi mereka telah stabil ketika itu. Tempoh sewaan itu ditetapkan supaya memberi ruang kepada pasangan lain yang baru berkahwin untuk mendiami rumah transit tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap membahaskan usul ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO pada perhimpunan agung pergerakan itu, Khamis lalu.

Sementara itu, wakil Pemuda UMNO Perak Zulfadli Hisham Abu Zahni berkata soal kedudukan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang membentuk Kerajaan Perpaduan bukanlah persoalan mudah utuk dijawab di peringkat bawah.

Namun kata beliau pergerakan itu mesti beradaptasi dengan situasi politik pada hari ini agar cepat menyesuaikan perjuangan UMNO dengan situasi politik negara, tanpa menggadai prinsip yang selama ini menjadi pasak perjuangan.

“Bagaimana kita selaku pemimpin sayap Pemuda UMNO harus mendepani ahli di akar umbi dalam menjawab soalan apakah posisi sebenar kita dalam Kerajaan Perpaduan.  Ini bukan persoalan mudah untuk kita jawab. Meski kita tahu bahawa posisi UMNO bukanlah hanya pelengkap, tetapi merupakan bahagian penting dalam fraksi kerajaan, namun harus juga kita betul dalam memberi penjelasan kepada ahli di bawah sana.

“Isu mengenai penjelasan tentang peranan dan posisi UMNO ini mesti kita perhalusi bersama. Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai Pemuda, memikirkan cara dan kaedah, untuk kita mendepani ahli parti dan juga pengundi.

“Meski sukar, kita kena faham bahawa kedudukan dan posisi kita dalam Kerajaan Perpaduan kali ini, bukan semata hanya kerana survival politik, tetapi memenuhi ikrar parti dalam menjulang perjuangan,” ujarnya.

Wakil Pemuda UMNO Pulau Pinang, Mohd Hilmi Elias yang turut berucap pada sesi berkenaan mengingatkan senario pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu agar dijadikan panduan sebaiknya terutama untuk berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Kata beliau PRU-15 patut boleh dijadikan sebagai panduan apabila satu organisasi atau satu pasukan bergaduh sesama sendiri, yang menyebabkan orang lain mendapat manfaat dan permusuhan sebenarnya membuka pintu kelemahan serta kehancuran.

“Persoalannya kini, adakah kita benar-benar belajar daripada keputusan PRU15 yang lalu? Jika kita lihat dalam sejarah, kejatuhan empayar dan dinasti ialah bermula apabila mereka bersikap tidak toleran sehingga dalam negara berlaku banyak konflik antara rakyat. Kerajaan bersifat kepuakan dan gagal menaungi inspirasi rakyat yang pelbagai.

“Politik pecah perintah mungkin menguntungkan golongan politik tertentu untuk sementara waktu, tetapi akhirnya akan menjadikan negara porak peranda. Firaun mengamalkan politik yang sama yang akhirnya menjatuhkan kerajaannya yang penuh bersejarah.

“Firman Allah: “Sesungguhnya Firaun telah melampau di bumi (Mesir), dan dia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Dia menindas satu puak kalangan mereka dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya dia dari golongan yang membuat kerosakan. Dan Kami (Allah) hendak memberikan kurnia kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan Kami (Allah) hendak menjadikan mereka pemimpinpemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (peninggalan Firaun).” (Surah al-Qasas ayat 4-5),” tambah beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.