PAU 2023 Bawa Signifikan Tersendiri, Dihadiri 60 Peratus Kepimpinan Baharu – SUA

KUALA LUMPUR, 3 Jun – Penganjuran Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 pada kali ini membawa signifikannya tersendiri apabila buat pertama kali membariskan kepimpinan baharu bagi sesi 2023/2026, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Katanya, ini kerana Pemilihan yang berlangsung pada Mac lalu menyaksikan lebih 60 peratus muka baharu dipilih mewarnai kepimpinan parti sama ada di peringkat Pusat dan bahagian.

“PAU kali ini ada signifikannya yang tersendiri kerana ia adalah PAU setelah kita selesai Pemilihan parti dengan membariskan lebih daripada 60 peratus wajah baharu dalam kepimpinan baik di peringkat Majlis Kerja Tertinggi, Wanita, Pemuda mahupun Puteri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pada raptai acara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa di Plaza Merdeka yang diadakan pagi tadi di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini.

Meluahkan kesyukuran dengan kelancaran raptai tersebut, Dr Asyraf berharap agar pelaksanaan pada hari sebenar juga berlangsung dengan baik.

Beliau dalam pada itu berkata PAU juga sebagai lembaran terbaik kepada kepimpinan dan akar umbi parti untuk melaksana strategi terbaik bagi mendepani masa hadapan parti terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Alhamdulillah raptai berjalan dengan lancar dan baik, saya kira ini berasaskan kepada pengalaman yang panjang kerana telah mengadakan PAU ini saban tahun.

“Kita mengharapkan pada hari berkenaan semuanya berjalan sebagaimana yang telah dirancangkan.

“Ini juga adalah suatu perhimpunan bukan sahaja untuk kita bermuhasabah tetapi sebagai medan untuk merencanakan gerak kerja untuk menghadapi siri-siri pilihan raya terutama di enam negeri yang bakal diadakan dalam tempoh sebulan dua ini,” ujar beliau.

Dr Asyraf pada masa sama turut berharap perwakilan yang hadir pada PAU ini memanfaatkan perhimpunan ini sebagai memperkukuh kekuatan dan kesepaduan agar terus komited membawa perjuangan parti.

“Saya lihat dan menjangkakan, insya-Allah dengan semangat dan istiqamah kepimpinan dan ahli-ahli di semua peringkat, mengalu-alukan kehadiran semua ke PAU kali ini.

“Ianya sebagai satu manifestasi kesungguhan, komitmen untuk mempertahankan agenda perjuangan UMNO untuk meneruskan pembelaan kepada agama, bangsa dan negara,” ujar beliau.

PAU 2023 akan bermula pada 7 hingga 10 Jun ini menyaksikan penganjurannya dilaksanakan awal sebagai persediaan parti untuk menghadapi PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu.

Perhimpunan ini dilakukan pertama kali sejak Pemilihan UMNO sesi baharu serta Konvensyen Kerajaan Perpaduan. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.