Pecutan Terakhir Persiapan PAU 2023, Gerak Kerja Lancar Bakal Sambut Perwakilan

KUALA LUMPUR, 6 Jun – Hanya berbaki sehari menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023, seluruh kakitangan Ibu Pejabat UMNO Malaysia selaku urus setia bertungkus-lumus mempersiapkan segala kelengkapan menjelang persidangan.

Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) sudah mula terasa kemeriahan PAU apabila para tenaga kerja mula sibuk memasang hiasan di seluruh pelosok bagi menyambut kehadiran para perwakilan yang dijadualkan akan tiba seawal jam 8.00 pagi esok.

Tinjaun UMNO Online mendapati warga kerja yang terlibat sama ada secara langsung ataupun tidak masih dalam proses penyempurnaan dan beberapa penambahbaikan peringkat akhir dilakukan bagi memastikan acara sepanjang PAU 2023 berjalan lancar.

Pelbagai persediaan dilakukan petugas yang antaranya menyusun bahan-bahan yang akan dimasukkan ke dalam beg perwakilan untuk diedarkan kepada perwakilan kelak.

Tidak ketinggalan juga kakitangan WTCKL turut mempersiap dan menambahbaik bagi melancarkan program tradisi UMNO itu.

PAU 2023 turut menyediakan hampir 100 buah gerai yang menjual pelbagai barangan antaranya pakaian, cenderahati, produk kesihatan industri kecil dan sederhana (IKS) dan sebagainya.

Terdapat juga 10 gerai di bawah kementerian dan agensi kerajaan yang bersama-sama pada perhimpunan ini.

PAU 2023 akan berlangsung pada 7 hingga 10 Jun 2023.

Terdahulu pada Sabtu lalu telah diadakan raptai penuh acara luar di Plaza Merdeka di bawah pemantauan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Kerja UMNO Datuk Mohd Sumali Reduan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit