Skuad Sayang 3K Harap Perwakilan Kongsi Info Kepada Akar Umbi
KUALA LUMPUR, 3 Jun – Para perwakilan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 diharapkan agar menggunakan himpunan ini sebagai wadah untuk membuahkan segala kebaikan dan info-info berguna kembali kepada akar umbi.
Ketua Komanden Skuad Sayang 3K, Hisham Suhaily Othman berkata, pada PAU kali ini Skuad Sayang 3K akan menyertai perbarisan semasa upacara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa dan meneruskan acara tahunan mereka iaitu pemberian anugerah.
“Skuad Sayang Kebangsaan 3K pada PAU kali ini seperti biasa, kami akan mengikuti perbarisan semasa upacara menaikkan bendera. Tetapi sebelum itu, kita akan ada Majlis Anugerah Skuad Sayang 3K yang berlangsung pada 7 Jun 2023 dan ianya adalah program tahunan bersama dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan serta penaung.
“Dalam majlis tersebut kita memberi anugerah kepada tiga orang tokoh aktivis masyarakat bagi kategori keselamatan, kebajikan dan kesihatan.
“Selain itu, Skuad Sayang 3K juga akan mengedarkan makanan kepada para tetamu yang berada di ruang legar pada hari pertama dan kedua PAU bermula pada 8 Jun 2023,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, beliau turut mengucapkan selamat datang kepada para perwakilan yang akan menghadirkan diri pada PAU kelak.
“Kepada semua perwakilan yang akan hadir ke PAU ini, kita ucapkan selamat datang. Kita hadir mewakili bahagian dan tambahan pula tahun ini termasuk Ketua Penerangan UMNO Bahagian serta sayap-sayap akan hadir.
“Jadikanlah lantai persidangan kita kali ini sebagai satu lantai yang membuahkan segala kebaikan dan juga info-info yang kita boleh bawa balik ke bahagian masing-masing untuk kita kongsi bersama dengan ahli UMNO dan rakyat sekaliannya,” katanya lagi.
Menurut Hisham Suhaily lagi, beliau mengharapkan agar para perwakilan tidak pulang dengan tangan kosong dan membawa segala maklumat berguna kepada ahli dan akar umbi di bahagian masing-masing.
“Bukan hanya datang sebagai perwakilan, tetapi tidak balik dengan tangan kosong. Biarlah ada sesuatu yang kita bawa balik iaitu info-info. Kita juga perlu memberi semangat kepada ahli-ahli di luar sana sebagai wakil telah yang dipilih sebagai perwakilan. Ada juga yang telah bertanding untuk menjadi wakil ke PAU.
“Ada yang menang, ada juga yang layak secara automatik. Mereka ini adalah wakil daripada bahagian dan terpilih. Tidak semua akan terpilih menjadi perwakilan saban tahun. Mereka yang hadir inilah perlu membawa nama bahagian mereka dan bawa balik segala maklumat diperolehi,” katanya lagi.
Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 bakal berlangsung pada 7 sehingga 10 Jun ini dan ianya akan mengumpulkan wakil para perwakilan daripada 191 bahagian seluruh Malaysia sebagai tanda manifestasi kepada semangat perjuangan parti yang tidak pernah luntur.
Terdahulu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa PAU pada tahun ini diadakan lebih awal kerana selepas itu akan diadakan sesi jelajah ke negeri-negeri yang akan berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan menggerakkan jentera. – UMNO Online